Supermax diramal kembali catat keuntungan pada FY25 disokong usaha rasionalisasi kos, kata TA Securities | DagangNews Skip to main content

Supermax diramal kembali catat keuntungan pada FY25 disokong usaha rasionalisasi kos, kata TA Securities

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Ogos - TA Securities meramalkan Supermax Corp Bhd kembali mencatatkan keuntungan pada FY25 dibantu pelbagai aspek termasuk rasionalisasi kos.

 

Katanya, permintaan sarung tangan dijangka bertambah baik pada suku-suku akan datang berikutan aktiviti penambahan stok semula selepas kebanyakan produk yang disimpan sudah hampir tamat tempoh. 

 

Firma penyelidikan itu juga percaya, purata harga jualan sarung tangan kekal mendatar pada tahun ini berikutan situasi lebihan bekalan dan persaingan daripada pengeluar China.

 

"Sementara itu, rancangan untuk membina enam barisan pengeluaran baharu yang moden dan lebih cekap berada di landasan tepat dan ia dijangka siap secara berperingkat.

 

"Dalam pada itu, pembinaan kemudahan pembuatan pertama kumpulan itu di Amerika Syarikat (AS) dijangka siap pada akhir 2024 atau suku pertama 2025," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu mengalami kerugian bersih suku tahunan terbesarnya sebanyak RM127.93 juta untuk suku keempat berakhir 30 Jun 2024 (4QFY24) kesan penurunan harga inventori anak syarikat luar negara berjumlah RM72.85 juta.

 

Selain itu, terdapat kemerosotan RM27.1 juta daripada kilang dan mesin, peralatan kilang, dan acuan dan alatan di kilang lama yang menghentikan pengeluaran pada suku tersebut, serta cukai tambahan yang dikenakan pada unit pembuatan tertentu bagi tahun sebelumnya berjumlah RM30.8 juta.

 

Perolehan kumpulan itu juga terjejas disebabkan kerugian tukaran mata wangsa asing tidak direalisasi bagi suku tersebut berjumlah RM9.9 juta, peruntukan untuk stok bahan pembungkusan lama dan usang serta inventori sarung tangan yang diturunkan taraf di loji lama berjumlah RM3.3 juta, dan perbelanjaan pra operasi kilang baharu AS berjumlah RM421,223.

 

TA Securities mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) 92 sen sesaham. - DagangNews.com