Supermax: perniagaan di Kanada berjalan seperti biasa, hanya kontrak Kerajaan Persekutuan terjejas | DagangNews Skip to main content

Supermax: perniagaan di Kanada berjalan seperti biasa, hanya kontrak Kerajaan Persekutuan terjejas

KUALA LUMPUR 16 Nov – Syarikat pengeluar sarung tangan getah, Supermax Corp Bhd. menjelaskan hanya Kerajaan Persekutuan Kanada menggantung pembelian produk-produknya sementara menanti laporan audit daripada juruaudit bebas, manakala perniagaan lain berjalan seperti biasa.

 

Pada masa ini, juruaudit bebas berpangkalan di Amerika Syarikat sedang menjalankan audit di tapak dan laporannya dijangka sedia untuk dikemukakan pada minggu keempat bulan ini.

 

``Semua jenis produk Peralatan Perlindungan Diri (PPE) seperti pelitup muka, sarung tangan getah yang diimport dari pembekal lain, produk gaun dan dental yang mana Supermax Canada tidak terjejas.

 

‘’Operasi perniagaan bagi PPE lain adalah berjalan seperti biasa,’’ kata Supermax dalam kenyataannya di Bursa Malaysia pada Isnin.

 

Menurut syarikat itu lagi, pihaknya telah melaksanakan proses mematuhi standard Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) mengenai pekerja migran sejak 2019.

 

‘’Proses tersebut telah berjalan dan Supermax agak terkejut kerana pertimbangan tidak diberikan walhal langkah-langkah pembetulan telah dimulakan dan penambahbaikan dibuat bagi kebajikan tenaga buruh.

 

‘’Kami akan menyegerakan proses bagi memenuhi standard-standard ILO tersebut,’’ kata Supermax.

 

Menurut syarikat itu lagi, pasaran Kanada mewakili kira-kira 9% jumlah keseluruhan pasaran Kumpulan Syarikat itu dan penguasaan pasarannya turun naik mengikut anugerah tender yang berjaya diraih mengikut tahun.

 

``Tempoh menahan kontrak (kerajaan Kanada) juga akan menentukan sejauh mana impak terhadap kewangan syarikat, namun syarikat tidak melihat impak terhadap operasi,’’ kata Supermax. – DagangNews.com