Suria Capital bekerjasama dengan DP World Dubai kendalikan Pelabuhan Kontena Teluk Sapangar | DagangNews Skip to main content

Suria Capital bekerjasama dengan DP World Dubai kendalikan Pelabuhan Kontena Teluk Sapangar

Pelabuhan Kontena Teluk Sapangar
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 10 Sept - Suria Capital Holdings Bhd, melalui anak syarikat milik penuhnya, Sabah Ports Sdn Bhd (SPSB) menandatangani perjanjian kerjasama dengan pengendali pelabuhan berpangkalan di Dubai, DP World FZE pada Isnin.

 

Kerjasama itu bertujuan mengendalikan Pelabuhan Kontena Teluk Sapangar (SBCP). 

 

Perjanjian itu berikutan kejayaan pelaksanaan perjanjian langganan saham bersyarat yang diumumkan pada awal April, di mana DP World FZE akan melanggan 3.57 juta saham dalam SBCP, manakala SPSB akan memegang baki saham.

 

Di samping itu, perjanjian kerjasama itu menandakan bermulanya pembangunan, pengurusan dan operasi bersama SBCP, kata Suria Capital dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

"Perkongsian ini menyasar untuk mengembangkan pertumbuhan industri pelabuhan Sabah dan meningkatkan peranannya sebagai hab logistik di rantau ini," ujar syarikat itu.

 

Pada April, Pengarah Urusan Sabah Ports Datuk Ng Kiat Min berkata, kerjasama dengan DP World akan membantu mengoptimumkan operasi SBCP, memacu peningkatan perdagangan Sabah dan memberi manfaat kepada komuniti dan perniagaan tempatan.

 

Di bawah kerjasama itu, DP World menyasarkan untuk meningkatkan kapasiti pengendalian kontena pelabuhan kepada 1.25 juta unit bersamaan dua puluh (TEU) menjelang 2025.

 

Perkongsian itu termasuk pelaburan dalam pengoptimuman aliran kerja, peningkatan digital untuk meningkatkan kecekapan operasi dan ketersambungan pelabuhan yang lebih baik. - DagangNews.com