Susun langkah transformasi, Yayasan TM lantik Izlyn Ramli sebagai Pengarah baharu | DagangNews Skip to main content

Susun langkah transformasi, Yayasan TM lantik Izlyn Ramli sebagai Pengarah baharu

Izlyn Ramli
Izlyn Ramli 

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 2 Ogos - Unit yayasan Telekom Malaysia Berhad (TM), Yayasan TM (YTM) mengorak langkah perjalanan 
transformasi dengan mengumumkan pelantikan Izlyn Ramli sebagai Pengarah baharu berkuatkuasa 1 Ogos 2021.

 

TMB berkata, pelantikan tersebut adalah sebagai hasrat untuk memberikan impak lebih besar kepada masyarakat dengan perluasan skop dan tanggungjawabnya. 

 

Usaha berkanaan akan membawa YTM menjadi sebuah yayasan yang lebih berteraskan impak sosial dengan menerajui inisiatif Tanggungjawab Korporat (CR) Kumpulan TM.

 

Mengulas berkaitan pelantikan tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Imri Mokhtar yang juga ahli Lembaga Pemegang Amanah (BoT) YTM berkata, sejak tahun 1994, YTM telah menjalankan tugas mulia dengan menyokong impian akademik para pelajar berpotensi tinggi di seluruh negara.

 

Menurutnya, sebilangan besar pelajar telah menjadi pemimpin yang berjaya, termasuklah di TM. 

 

"Kami percaya bahawa YTM kini bersedia untuk melangkah ke arah peranan yang jauh lebih besar melangkaui biasiswa. Melangkah ke hadapan, ia akan menggabungkan pendidikan, pelancongan, budaya dan warisan, serta aktiviti dan sumber CR dalam Kumpulan TM.

 

"Ini juga untuk menyokong fokus TM Baharu (New TM) pada aspek Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) perniagaan kami, serta memperkukuhkan lagi aspirasi Kumpulan TM dalam memacu Digital Malaysia. 

 

"Izlyn membawa kepakarannya dalam bidang komunikasi, penjenamaan, pengurusan pihak berkepentingan dan CR untuk memimpin peralihan strategik ini di YTM. Kami menantikan pimpinan beliau dalam menerajui YTM ke tahap yang lebih tinggi dan muncul sebagai sebuah yayasan yang berimpak sosial tinggi yang terkemuka di negara ini," katanya dalam satu kenyataan.

 

Izlyn memiliki pengalaman hampir 30 tahun dalam pelbagai industri termasuklah telekomunikasi, kewangan dan perakaunan, dengan kepakaran dalam Strategi dan Dasar, Pengurusan dan Penglibatan Pihak Berkepentingan, Analisis Kewangan, Komunikasi Strategik dan Krisis, Pengurusan Jenama, Pengurusan Media Sosial dan Digital, Pengalaman Pelanggan, Tanggungjawab dan Kelestarian Korporat.

 

Jawatan terakhir yang disandang beliau adalah Naib Presiden, Komunikasi Strategik Kumpulan (GSC), dengan peranan utama menjaga dan mempertingkatkan imej serta reputasi TM, serta menguruskan sebahagian usaha tanggungjawab korporat (CR) Kumpulan.

 

Beliau menyertai TM pada tahun 1998 dan berkhidmat selama 10 tahun dalam bahagian Strategi  dan Perancangan Kumpulan. 

 

Dari 2006 hingga 2008, beliau juga telah dilantik sebagai Pembantu Khas kepada Pengerusi Kumpulan TM. 

 

Setelah bertugas selama dua tahun di luar syarikat, Izlyn kembali ke TM sebagai Naib Presiden, Komunikasi Korporat Kumpulan pada 1  Oktober 2010 dan dilantik sebagai Naib Presiden, Jenama dan Komunikasi Kumpulan  berkuatkuasa 1 Jun 2014.

 

Dalam pada itu, Izlyn juga turut berkhidmat dengan beberapa syarikat lain termasuk PricewaterhouseCoopers, BzW Capital dan Axiata Group Berhad.

 

Mengulas lanjut, Imri turut memberi penghargaan kepada peneraju YTM yang terdahulu iaitu Abd. Hamid Hashim.

 

Bagi pihak Lembaga Pemegang Amanah dan Warga YTM, pihaknya ingin  mengucapkan terima kasih kepada Abd Hamid Hashim atas sumbangan berharga yang telah  beliau berikan kepada YTM selama tujuh tahun.

 

YTM terus melahirkan lebih ramai pemimpin masa hadapan bukan hanya melalui bantuan kewangan tetapi juga melalui program pembangunan diri, terutamanya dalam pemikiran kritis untuk pemimpin dan kesediaan tenaga kerja. - DagangNews.com