Swasta mungkin ambil alih operasi hospital, kerajaan hanya kawal selia kata APHM | DagangNews Skip to main content

Swasta mungkin ambil alih operasi hospital, kerajaan hanya kawal selia kata APHM

 

KUALA LUMPUR 7 April - Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) berkata, sektor penjagaan kesihatan awam dan swasta perlu membentuk sistem bersepadu tunggal berbanding beroperasi secara berasingan.

 

Walaupun sektor swasta dan awam bekerjasama dalam kes tertentu, contohnya hospital kerajaan menyumberluarkan sesetengah kes bukan COVID-19 kepada hospital swasta ketika pandemik, Presiden APHM, Dr Kuljit Singh berkata, idea “perkongsian” patut tidak wujud lagi suatu hari nanti.

 

Katanya, sistem itu sepatutnya berfungsi sebagai sistem penjagaaan kesihatan menyeluruh.

 

Beliau berkata, akan tiba masanya, walaupun bukan dalam masa terdekat ini, apabila kerajaan hanya menjadi pengawal selia dan menjaga kesihatan orang ramai – seperti menguruskan pandemik dan kempen kesihatan – manakala sektor swasta akan mengambil alih operasi semua hospital dan klinik.

 

“Semua rawatan klinikal perlu dikendalikan secara swasta kerana anda dapat mengawal kos dan memberikan rawatan lebih baik kepada pesakit,” katanya dalam forum “Hospital masa depan”, semalam, lapor FMT.

 

Bayaran boleh dibuat menerusi skim insurans negara, seperti yang berlaku di sesetengah negara Barat, seperti United Kingdom atau Australia, atau satu sistem dengan kos dibahagikan dengan kerajaan.

 

“Sudah tentu perlu ada sokongan sosial untuk mereka yang tidak mampu mendapatkan rawatan dan di sini kerajaan boleh campur tangan.”

 

Kuljit membayangkan model ini digunakan di seluruh dunia kerana “pembahagian” antara sektor swasta dan awam tidak lestari. - DagangNews.com