KUALA LUMPUR 18 Ogos - Sweden sekali lagi menawarkan pesawat pejuang pelbagai peranan (MRF), Saab JAS 39 Gripen untuk keperluan pemodenan Tentera Udara Filipina (PAF).
Perkara itu menjadi fokus utama semasa pertemuan Duta Sweden ke Manila, Annika Thunborg dengan Setiausaha Jabatan Pertahanan Negara, Gilberto Teodoro Jr. di Camp Aguinaldo, Quezon City.
Sweden sebelum ini telah menyatakan komitmen negara itu untuk terlibat secara langsung dalam program pembangunan pertahanan Filipina.
Ini termasuklah sokongan terhadap usaha Manila melindungi integriti wilayah dan kepentingan wilayah negara dengan lebih berkesan dalam Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE).
Kedua-dua pihak juga menantikan ratifikasi dan pelaksanaan memorandum persefahaman mengenai kerjasama dalam perolehan pertahanan yang ditandatangani antara Filipina dan Sweden pada 3 Jun lalu di Singapura.
Justeru, tawaran Sweden bagi pesawat Saab JAS-39 Gripen untuk program MRF Filipina adalah tepat serta bersesuaian dengan keperluan negara itu.
JAS-39 Gripen merupakan satu daripada dua pesaing untuk projek MRF Filipina dengan jet pejuang lain ialah Lockheed Martin F-16 Viper buatan Amerika Syarikat (AS).
Cadangan untuk menjual F-16 Blok 70/72 bernilai AS$2.4 bilion telah ditolak kerana terlalu mahal.
Oleh itu, AS sedang mempertimbangkan pilihan untuk mengurangkan harga kepada Filipina dengan menawarkan penjualan F-16 Block 50 dengan avionik Block 70.
Berbanding tawaran AS, JAS-39 Gripen berada dalam kategori pesawat mampu milik khususnya bagi Filipina yang mempunyai bajet pertahanan terhadap.
Pesawat itu memerlukan kru dan peralatan sokongan darat yang minimum untuk operasi dengan kelebihan untuk mendarat dan berlepas dari jalan raya.
Ia juga dilengkapi dengan radar dan sensor serta senjata canggih.
Program MRF bakal menggandakan kekuatan tentera udara Filipina yang ketika ini mempunyai 12 pesawat pejuang ringan FA-50PH buatan Korea Selatan.
Keperluan untuk projek MRF menetapkan bahawa pesawat yang ditawarkan mestilah dalam kategori generasi keempat atau lebih tinggi.
Projek itu juga memerlukan sekurang-kurangnya 12 buah pesawat MRF bagi mengawal perairan dan ruang angkasa negara.
Perolehan MRF sepatutnya menjadi sebahagian daripada Pelan Horizon 2 iaitu program pemodenan tentera Filipina antara tahun 2018 hingga 2022.
Bagaimana pun fasa tersebut tergendala disebabkan situasi pandemik COVID-19.
Difahamkan, perolehan MRF kini berada pada peringkat untuk mendapatkan kelulusan kewangan negara dan Sweden berkemungkinan besar mendapat kontrak berkenaan.
Ia masih harus dilihat sama ada pembiayaan akan disediakan pada tahun ini memandangkan belanjawan pertahanan untuk 2023 telah dikurangkan kira-kira AS$141.6 juta.
Pada Disember tahun lalu, Panglima Tentera Udara Filipina, Lt. Jeneral Connor Anthony Canlas mengetuai kumpulannya ke Sweden untuk mencuba pesawat Saab JAS-39 Gripen D.
Berdasarkan lawatan tersebut, Filipina dilihat cenderung untuk memilih pesawat JAS-39 Gripen C/D bagi program MRF negara itu. - DagangNews.com