Syarikat Air Terengganu sasar pendapatan RM174 juta untuk tahun 2024 termasuk RM9.6 juta hasil pelarasan tarif baharu air | DagangNews Skip to main content

Syarikat Air Terengganu sasar pendapatan RM174 juta untuk tahun 2024 termasuk RM9.6 juta hasil pelarasan tarif baharu air

Loji rawatan air kendalian Syarikat Air Terengganu di Bukit Berapit, Kuala Nerus. - Gambar ihsan SATU
Oleh HUSNA ABDULLAH

KUALA TERENGGANU 22 Jan - Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (SATU), penyedia perkhidmatan bekalan air terawat di Terengganu mengunjurkan hasil tambahan sebanyak RM9.6 juta daripada pelarasan kadar tarif air baharu yang akan mula dilaksanakan pada 1 Februari ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Ts Abdul Karim Endut berkata, kadar baharu itu juga menyakinkan pihaknya untuk mencapai sasaran pendapatan sebanyak RM174 juta bagi keseluruhan tahun ini.

 

Menurutnya, kadar tarif baharu itu adalah antara yang terendah di Malaysia iaitu kenaikan 16 sen bagi isi rumah yang menggunakan air sehingga 20 meter padu.

 

"Kadar caj bagi setiap meter padu akan beralih dari 42 sen per meter padu kepada 58 sen per meter padu termasuk caj elektrik. 


 
"Ini bermaksud bagi rumah yang menggunakan air 20 meter padu setiap bulan, caj baharu akan meningkat sebanyak RM3.20 sebulan atau 10.7 sen sahaja sehari," katanya.


 

Ts Abdul Karim Endut
                              Ts Abdul Karim Endut

 


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sidang media pelaksanaan pelarasan kadar perkhidmatan bekalan air dan caj elektrik 2024 di ibu pejabat SATU di sini hari ini.

 

Ketika ini, SATU menyediakan perkhidmatan bekalan air terawat kepada lebih 1.2 juta rakyat yang meliputi 342,364 akaun termasuk pengguna domestik serta bukan domestik, merangkumi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) hingga kepada pengguna industri.

 

Tambahnya, bagi kategori domestik, caj minimum bagi pengguna akan beralih daripada RM4 kepada RM5.80. 


 
Bagi penggunaan air 20 meter padu hingga 35 meter padu pula, kadar caj baharu akan beralih dari 65 sen  kepada 83 sen per meter manakala bagi penggunaan air yang melebihi 35 meter padu, kadar caj baharu adalah RM1.08 berbanding kadar lama iaitu RM1.

 

Selain itu, perusahaan komersial serta bangunan bukan domestik lain akan melihat peralihan kadar baharu kepada RM1.08 bagi penggunaan air sehingga 35 meter padu, manakala penggunaan lebih daripada 35 meter padu dikenakan caj RM1.48 bagi setiap meter padu.

 

satu

 

terengganu inc

 

satu


 
"Bagi kategori khas termasuklah surau, masjid, rumah ibadat, institusi kebajikan serta perkapalan pula, cajnya akan bertambah kepada 8 sen bagi setiap meter padu mengikut kadar sedia ada," katanya.

 

Mengulas lanjut, beliau berkata, kenaikan kadar tarif baharu itu nanti akan memberi peluang kepada SATU untuk menjalankan kerja-kerja menaik taraf perkhidmatan tersebut.

 

"SATU telah merancang beberapa projek membaik pulih, menukar serta menaik taraf sistem perpaipan yang sudah terlalu dhaif  agar sistem bekalan air terawat dapat dilaksanakan dengan lebih efisien kepada pengguna di Terengganu.

 

“Kenaikan tarif harus dilihat secara positif yang memberi kebaikan kepada pengguna, bukannya tindakan yang membebankan kerana hasil unjuran pendapatan akan 'dikembalikan' kepada rakyat melalui peningkatan tahap perkhidmatan.

 

"Kita dapat gunakan tambahan hasil bagi membaik pulih paip-paip uzur di samping mengatasi isu tekanan air rendah sekitar dan beberapa penambahbaikan lain,” katanya. - DagangNews.com