Syarikat bersekutu Seal Incorporated raih kontrak RM645 juta daripada Sabah Electricity | DagangNews Skip to main content

Syarikat bersekutu Seal Incorporated raih kontrak RM645 juta daripada Sabah Electricity

Projek Sabah BESS akan bermula pada September 2024 dan dijangka siap menjelang 30 Jun 2025. Gambar hiasan SESB
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 13 Sept - Syarikat bersekutu 20% milik Seal Incorporated Berhad, MSR Green Energy Sdn. Bhd. (MSRGE) meraih kontrak kejuruteraan daripada Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) bernilai kira-kira RM645 juta.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, Seal Incorporated berkata, surat anugerah bertarikh 11 September 2024 itu untuk kejuruteraan, perolehan dan pembinaan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) dengan kapasiti 100-megawatt (MW) dengan penyimpanan tenaga 400 megawatt jam (MWh) di Lahad Datu, Sabah (Projek Sabah BESS).

 

"Untuk makluman, SESB telah menjalankan proses tender untuk Projek Sabah BESS pada November 2023 dan MSRGE telah mengemukakan bidaan mereka untuk proses tender tersebut pada Disember 2023," katanya hari ini.

 

Menurut pemakluman tersebut, Projek Sabah BESS akan bermula pada September 2024 dan dijangka siap menjelang 30 Jun 2025.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Majlis Tenaga Sabah luluskan projek jana kuasa kritikal berkapasiti 700 MW pulihkan sistem grid

 

sesb
Gambar hiasan SESB

 

Katanya, kontrak ini akan meningkatkan dan memperkukuhkan buku pesanan sedia ada MSRGE dan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan MSRGE serta Seal melalui perkongsian keuntungan syarikat bersekutu sepanjang tempoh kontrak.

 

"Tiada pengarah dan/atau pemegang saham utama dan/atau individu yang berkaitan dengan Pengarah dan/atau pemegang saham utama Syarikat mempunyai sebarang kepentingan langsung atau tidak langsung dalam Kontrak tersebut," jelasnya.

 

Seal Incorporated berkata, Projek Sabah BESS ini merupakan usaha berterusan SESB untuk meningkatkan kapasiti penjanaan infrastruktur Grid Sabah. 

 

"Dengan kapasiti penyimpanan tenaga maksimum sebanyak 400 MWh, projek ini akan menjadi sistem BESS terbesar di Asia Tenggara.

 

"Projek Sabah BESS ini akan meningkatkan margin rizab Grid Sabah semasa tempoh puncak dan menyokong perluasan tenaga solar berskala besar.

 

"Projek ini akan meningkatkan kestabilan kapasiti penjanaan dalam Grid Sabah, sambil menyumbang kepada kelestarian alam sekitar dan meningkatkan potensi kapasiti penjanaan tenaga boleh diperbaharui," ujarnya.- DagangNews.com