Syarikat induk GSC peruntuk capex 4 tahun, RM930 juta | DagangNews Skip to main content

Syarikat induk GSC peruntuk capex 4 tahun, RM930 juta

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 13 April - PPB Group Berhad, syarikat induk kepada panggung wayang, Golden Screen Cinemas Sdn. Bhd. (GSC) merancang untuk memperuntukkan sehingga RM930 juta perbelanjaan modal (capex) bagi tempoh empat tahun akan datang. 

 

Pengerusi PPB, Tan Sri Oh Siew Nam berkata, peruntukan itu mengambil kira cabaran-cabaran COVID-19 semasa. 

 

Ujar beliau, di sebalik keadaan ekonomi semasa yang sangat mencabar, PPB yakin terhadap prospek kumpulan dan berhasrat untuk meneruskan pelaburan dalam segmen perniagaan yang berpelbagai bagi memacu pertumbuhannya. 

 

“Walaupun kami bimbang terhadap impak pandemik ke atas ekonomi, namun kami akan terus menguruskan aset dengan berkesan serta memperkukuh prospek kumpulan dengan secara strategik memanfaatkan peluang yang ada di pasaran.

 

“Pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka melonjak semula pada tahun 2021 memandangkan ekonomi pulih daripada penguncupan pada 2020. Walaupun kesan pandemik COVID-19 di peringkat tempatan dan global belum sepenuhnya hilang, tetapi ada tanda-tanda (pemulihan) yang meyakinkan dan optimis,” katanya dalam Laporan Tahunan PPB menerusi makluman di Bursa Malaysia hari ini. 

 

Sekitar Februari lalu, PPB mencatatkan keuntungan bersih bagi suku keempat tahun kewangan 2020 (4Q20) melonjak 10.13% kepada RM385.39 juta daripada RM349.95 juta pada 4Q19.

 

Lonjakan itu sebahagian besarnya dipacu oleh sumbangan keuntungan dicatatkan anak syarikatnya yang tersenarai di Singapura, Wilmar International Ltd, mengimbangi kemerosotan hasil kumpulan akibat penularan COVID-19.

 

Bagi prestasi sepanjang FY20, kumpulan itu menyaksikan keuntungan bersih yang menokok kepada RM1.32 bilion daripada RM1.15 bilion dicatatkan bagi FY19.

 

Menerusi laporan tahunan sama, Siew Nam mengakui prestasi kewangan kumpulan akan bergantung dan secara signifikannya dipacu oleh perniagaan Wilmar.

 

Bagi perkembangan perniagaan pawagam kumpulan, GSC yakin terhadap prospek jangka panjang industri itu, walaupun keadaan operasi semasa yang mencabar, menurut Pengarah Urusan PPB, Lim Soon Huat.

 

Katanya, kumpulan akan terus bersedia bagi memulihkan segmen berkenaan secara beransur-ansur.

 

“Sejajar dengan ini, kami menandatangani sebuah perjanjian pada Februari 2021 untuk mengambil alih aset pawagam daripada bekas pengendali MBO.

 

Baca : GSC beli majoriti pawagam MBO

 

“Pengambilalihan ini disasarkan selesai menjelang akhir Jun 2021 dan dijangka mempercepatkan pemulihan kami apabila persekitaran operasi kembali normal.

 

“Rancangan juga sedang dilakukan untuk meningkatkan kandungan tempatan dalam campuran pengaturcaraan kami untuk mengurangkan kebergantungan kepada siaran Hollywood dengan menghasilkan bersama lebih banyak filem tempatan,” ujar beliau lanjut. 

 

Baca : Pengambilalihan MBO positif seiring prospek pengembangan GSC - MIDF

 

Beliau percaya, pemulihan industri itu sebahagian besarnya bergantung kepada kes COVID-19 yang terkawal dengan pengedaran COVID-19.

 

Mengambil kira faktor itu, beliau berkata, PPB menjangkakan pemulihan yang kukuh bermula suku ketiga 2021 (3Q21) apabila sentimen pengguna bertambah baik.

 

“GSC akan terus berhati-hati dan memastikan pengurusan aliran tunai yang ketat, dan meneroka sumber pendapatan lain,” katanya lagi. 

 

Setakat 12.09 tengah hari, nilai saham PPB menyusut 6 sen atau 0.32% kepada RM18.58. - DagangNews.com