Syarikat milik Tan Sri Lee Kim Yew, isteri diperintah bayar hutang tertunggak RM1 juta kepada TNB | DagangNews Skip to main content

Syarikat milik Tan Sri Lee Kim Yew, isteri diperintah bayar hutang tertunggak RM1 juta kepada TNB

TNB memperoleh penghakiman terus ke atas Cenmal Commercial berikutan tunggakan hutang.

KUALA LUMPUR 23 Ogos - Tenaga Nasional Bhd (TNB) memperoleh penghakiman terus sebanyak RM1.005 juta terhadap Cenmal Commercial Sdn Bhd — anak syarikat Country Heights Venture Sdn Bhd dan Mines Cruise Sdn Bhd.

 

Pengasas dan penasihat Country Heights Holdings Bhd, Tan Sri Lee Kim Yew dan isterinya, Puan Sri Tan Bee Hong memegang saham dalam Country Heights Venture and Mines Cruise, menurut data Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

 

Penghakiman terus itu diberikan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong selepas perbicaraan pada 22 Ogos 2024, lapor portal The Edge.

 

Ini susulan permohonan TNB yang difailkan pada 19 Jun tahun ini untuk menuntut hutang daripada syarikat berkenaan sejak 18 Okt 2023.

 

Selain memberikan penghakiman terus, Gan juga memberikan faedah 5% kepada jumlah itu sehingga penyelesaian keseluruhan jumlah tersebut.

 

“Tiada isu boleh dibicarakan dan permohonan untuk penghakiman terus dibenarkan dengan kos RM5,000,” kata Gan dalam penghakiman ringkasnya.

 

Penghakiman terus boleh dibuat oleh mahkamah, tanpa pergi ke perbicaraan penuh, sekiranya mahkamah berpuas hati defendan tidak mempunyai kes untuk dijawab. Ia dikatakan sebagai cara yang cekap untuk menyelesaikan kes.

 

TNB memfailkan saman terhadap Cenmal Commercial, yang memiliki sebuah hotel di Sungai Besi yang dikenali sebagai Hotel Capital O Unicorn (sebelum ini Hotel Nouvelle) pada Oktober 2023 untuk mendapatkan tunggakan pembayaran.

 

Afidavit menyokong penghakiman terus di bawah Perintah 14 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012, oleh pengurus litigasi TNB KL, Norsyazwani Abdullah, yang mengesahkan syarikat utiliti nasional itu masih belum menerima jumlah itu.

 

Beliau berkata, Cenmal mempunyai alamat perniagaan di The Mines Resort, Seri Kembangan dalam carian syarikat dan mendapati ia adalah anak syarikat Country Heights Venture dan Mines Cruise.

 

Norsyazwani berkata pada Mei 2023, Cenmal telah berhutang kepada TNB sebanyak RM695,070.85 dan notis tuntutan telah dihantar kepada syarikat pada bulan yang sama mengenai jumlah terhutang melalui peguam cara TNB daripada Tetuan Azmi & Co.

 

“Bagaimanapun, sehingga kini, TNB masih belum menerima jumlah itu. Jumlah terhutang kini ialah RM1,005,620.10,” katanya dalam afidavit sokongan, sambil menambah bahawa jumlah terhutang adalah dari Ogos 2022.

 

Norsyazwani berkata penghakiman persetujuan dicapai dan direkodkan oleh mahkamah antara pihak-pihak pada Mei 2022, dengan jumlah terhutang sebanyak RM472,451.03 di mana defendan bersetuju untuk membayar RM50,000 sebelum 15 Jun 2022, dan seterusnya bayaran bulanan RM34,205.25 dari Julai 2022 hingga Julai 2023.

 

Beliau berkata, syarikat telah membayar jumlah awal seperti yang diperlukan tetapi ia gagal membayar bil yang dikenakan selepas itu, menyebabkan tindakan diambil.

 

TNB diwakili oleh Wafiy Azman dan Marina Tiwol manakala Cenmal diwakili oleh firma Tetuan Au & Partners.

 

Wafiy ketika dihubungi The Edge mengesahkan keputusan mahkamah.- DagangNews.com