Syarikat Pengelola Haji tidak dibenarkan iklan pakej haji, kutip deposit sehingga dibenarkan TH | DagangNews Skip to main content

Syarikat Pengelola Haji tidak dibenarkan iklan pakej haji, kutip deposit sehingga dibenarkan TH

Dato’ Sri Syed Saleh Syed Abdul Rahman menyampaikan lesen Pengelola Jemaah Haji kepada satu daripada 22 wakil syarikat untuk kendalikan jemaah haji tahun ini.

KUALA LUMPUR 1 Mac – Semua Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang dilesenkan pada hari ini tidak dibenarkan lagi mengeluarkan sebarang iklan pakej-pakej haji sehingga kebenaran rasmi dikeluarkan oleh Lembaga Tabung Haji (TH).

 

Pengarah Eksekutif Haji TH, Dato’ Sri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, sehubungan itu, bakal haji yang berhasrat untuk menunaikan haji melalui PJH diminta untuk tidak menyerahkan sebarang wang deposit kepada syarikat selagi mana belum mendapat surat tawaran tunai haji.

 

“Setakat hari ini, Kerajaan Malaysia dan TH masih lagi menunggu makluman rasmi berkaitan urusan haji untuk tahun 1443H/2022M daripada pihak berkuasa Arab Saudi,'' kata beliau di majlis penyerahan lesen PJH di Menara TH Tun Razak, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

 

“Sama seperti tahun-tahun sebelumnya, TH ingin mengingatkan kepada mana-mana individu atau agensi pelancongan yang menawarkan perkhidmatan pakej haji tanpa memperoleh kelulusan daripada TH adalah menjadi satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535),” tambah beliau lagi.

 

TH menasihati orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan mengambil langkah waspada kerana TH tidak pernah melantik mana-mana individu sebagai ejen dalam hal-hal berkaitan tawaran haji dan pakej haji.

 

Pada majlis itu, TH menyerahkan lesen Pengelola Jemaah Haji kepada 22 buah syarikat pelancongan tempatan termasuk anak syarikatnya Tabung Haji Travel & Services Sdn Bhd (THTS) untuk beroperasi sebagai PJH bagi Musim Haji 1443H/2022M.

 

Pelantikan 22 PJH ini adalah antara langkah awal persediaan haji yang dilakukan oleh TH setiap tahun.


 

TH

 


Semua wakil PJH yang hadir pada majlis tersebut telah diberikan taklimat berkaitan Terma dan Syarat Perkhidmatan Pakej Haji Musim Haji 1443H/2022.

 

Senarai PJH yang menerima lesen ini boleh disemak di laman web rasmi TH http://www.tabunghaji.gov.my.

 

Untuk sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan Tabung Haji (THCC)di talian 03-6207 1919. – DagangNews.com