Syarikat permulaan tempatan rangkul tempat teratas di Kongres AIM 2024, Abu Dhabi | DagangNews Skip to main content

Syarikat permulaan tempatan rangkul tempat teratas di Kongres AIM 2024, Abu Dhabi

Foqcus Sdn Bhd dan Qarbotech Sdn Bhd, yang mewakili delegasi Malaysia di Kongres Mesyuarat Pelaburan Tahunan (AIM) 2024 di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

KUALA LUMPUR 28 Mei – Dua syarikat permulaan Malaysia, Foqcus Sdn Bhd dan Qarbotech Sdn Bhd, yang mewakili delegasi Malaysia di Kongres Mesyuarat Pelaburan Tahunan (AIM) 2024 di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), telah merangkul tempat kedua dan ketiga dalam pertandingan pembentangan pendek (pitching), AIM Startup Pitch Competition.

 

Kemenangan kedua-duanya menggambarkan minat pasaran global terhadap inovasi dan teknologi tempatan.

 

Focqus mempamerkan inovasinya bagi peringkat Pra-Pembentukan (Pre-Seed), manakala Qarbotech bersaing untuk peringkat Pembentukan (Seed) bersama syarikat permulaan antarabangsa dari pasaran utama seperti Amerika Syarikat, Rusia, China, Korea Selatan, Jepun, Hong Kong, Uganda, India, dan UAE.

 

Foqcus, yang juga penerima geran CIP Sprint daripada Cradle, merangkul tempat kedua dan menerima AS$10,000 untuk usaha niaganya.

 

Startup ini memberi fokus kepada identifikasi bagi produk digital, kebolehkesanan, dan kepintaran data melalui kod QR yang dikenali sebagai SmartKood. SmartKood menyediakan penyelesaian berintegrasi merangkumi analitik data raya hingga aktiviti yang melibatkan pengguna.

 

 

iktisad

 

 

Bagi kategori peringkat Pembentukan, Qarbotech, sebuah syarikat penerima pelaburan daripada Malaysia Venture Capital Management Berhad (MAVCAP), merangkul tempat ketiga dengan AS$5,000 dalam pertandingan tersebut.

 

Qarbotech telah dipilih oleh MAVCAP sebagai salah satu syarikat permulaan untuk menyertai delegasi Malaysia. Produk Qarbotech khusus dalam penyelesaian bioserasi (biocompatible) yang dicipta untuk meningkatkan kadar fotosintesis tumbuhan, mempercepat kitaran tanaman, dan menggalakkan pertumbuhan.

 

Diketuai oleh Kementerian Sains, Teknologi, dan Inovasi (MOSTI), bersama agensi-agensi di bawah bidang kuasanya termasuk Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle), Malaysian Research Accelerator for Technology & Innovation (MRANTI), Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT), dan MAVCAP, delegasi Malaysia terdiri daripada sembilan syarikat permulaan daripada pelbagai sektor.

 

Syarikat permulaan berkenaan adalah Aerodyne Ventures Sdn Bhd (DT3 - teknologi dron, data, dan transformasi digital), Umrahme (teknologi pelancongan), Braintree Technologies Sdn Bhd (kecerdasan buatan dan robotik), Gobuilders Netsoft Sdn Bhd atau GOLOG (logistik), MoneyMatch Sdn Bhd (teknologi kewangan), Sonicboom Sdn Bhd (teknologi kewangan), DF Automation & Robotics Automotive Sdn Bhd (IoT dan robotik), Foqcus (teknologi data), dan Qarbotech (AgTech).

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle, Norman Matthieu Vanhaecke, menyatakan perasaan bangga akan kejayaan Foqcus dan Qarbotech, dalam masa yang sama, menekankan tentang potensi inovasi dan keusahawanan syarikat permulaan Malaysia.

 

“Kami bangga dengan Foqcus dan Qarbotech atas pencapaian mereka di Kongres AIM 2024 kerana kejayaan mereka mencerminkan inovasi, dedikasi, dan ekosistem syarikat permulaan Malaysia yang unggul di peringkat global. Dengan sokongan dan peluang yang diberikan, kami yakin bahawa mereka akan terus melangkaui sempadan dan melakar masa hadapan industri syarikat permulaan di seluruh dunia,” tambah Norman.

 

 

focqus
Foqcus, penerima program geran CIP Sprint Cradle, memperoleh tempat kedua dan menerima AS$10,000 untuk usaha masa depannya.

 

 

“Saya berbesar hati untuk bersama-sama dengan rakan-rakan syarikat permulaan lain mewakili Malaysia di peringkat global. Kemenangan ini bukan sahaja menjadi bukti kepada bakat dan inovasi unggul negara kita, tetapi juga sokongan berterusan yang kami terima daripada Kerajaan. Jelas bahawa inilah visi negara, iaitu untuk mempamerkan bakat dan inovasi tempatan di peringkat antarabangsa yang menjadi kebanggaan kita semua,” kata Bryant Kooh, Pengasas Foqcus.

 

“Kejayaan Qarbotech merupakan bukti semangat inovatif dan keusahawanan Malaysia dalam memperkasakan petani kecil melalui penyelesaian teknologi kami. Penyertaan kami dalam AIM Startup Pitch Competition bersama syarikat permulaan tempatan yang lain merupakan pencapaian penting kami kerana ia membantu mempamerkan teknologi yang dibangunkan secara tempatan di peringkat global. Kami percaya bahawa teknologi kami dapat memberi impak yang bermakna, dan kami teruja untuk berkongsi teknologi kami di pasaran antarabangsa,” kata Chor Chee Hoe, Ketua Pegawai Eksekutif Qarbotech.

 

 

cradle
Qarbotech, sebuah syarikat penerima pelaburan dari MAVCAP, mendapat tempat ketiga dengan AS$5,000 dalam pertandingan selepas dipilih oleh MAVCAP untuk menyertai perwakilan Malaysia.

 

 

Selain itu, dua syarikat permulaan yang dibiayai oleh Cradle, MoneyMatch dan GOLOG, juga menjalin kerjasama dengan syarikat berpusat di UAE sebagai sebahagian daripada misi perniagaan mereka ke Kongres AIM 2024.

 

MoneyMatch, salah satu penerima program geran Cradle, CIP300, dan syarikat penerima pelaburan Cradle Seed Ventures, menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Trade Foresight untuk meneroka integrasi penyelesaian pembayaran rentas sempadan melalui ujian perintis yang melibatkan pelanggan Trade Foresight untuk memudahkan transaksi dengan anggaran jumlah transaksi bulanan antara RM10 juta hingga RM15 juta.

 

Sementara itu, GOLOG, yang juga salah satu penerima CIP300, menandatangani MoU dengan Royal Eficaz General Trading LLC dari UAE untuk menarik dan mendapatkan pelaburan besar dengan sasaran AS$150 juta.

 

Delegasi MOSTI, yang diketuai oleh Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) MOSTI, juga menampilkan Ts. Dr. Raslan Ahmad, Naib Presiden Kanan MIGHT, yang membentangkan sebuah sesi bertajuk “Designing the Future of Cities: Innovation, Sustainability, and Community Engagement” di mana beliau berkongsi pandangan tentang cabaran perancangan bandar serta peranan penting MIGHT dan Malaysia Smart Cities Alliance (MSCA) dalam memajukan bidang bandar pintar.

 

AIM Startup Pitch Competition, acara tahunan yang dianjurkan oleh AIM Startup, merupakan sebuah platform untuk memupuk inovasi, semangat persaingan, dan kepimpinan dalam kalangan syarikat permulaan teknologi.

 

Berlangsung dari 7 hingga 9 Mei 2024 di Pusat Pameran Kebangsaan Abu Dhabi (ADNEC), Kongres AIM ke-13 ini dijangka menarik pengunjung dari pelbagai negara dan menjanjikan pengalaman yang menarik serta dinamik untuk menjalin rangkaian dan kerjasama dalam kalangan pemain industri. - DagangNews.com