Syarikat Thailand dijangka terajui Tesco Malaysia bermula esok | DagangNews Skip to main content

Syarikat Thailand dijangka terajui Tesco Malaysia bermula esok

Tesco Malaysia

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 17 Dis. - Pengurusan syarikat Tesco Malaysia yang sedia ada dijangka berakhir esok dan bakal diteruskan oleh pasukan pengurusan baharu daripada syarikat swasta terbesar di Thailand, CP Retail Development Company Ltd. (CPRD).

 

Jangkaan itu dibuat berdasarkan kepada kenyataan media yang dikeluarkan oleh Tesco PLC pada 9 Disember lalu.

 

Kenyataan tersebut memaklumkan bahawa jangkaan penjualan perniagaan Tesco di Malaysia dan Thailand kepada syarikat CPRD akan dimuktamadkan pada minggu ini.

 

"Susulan daripada pengumuman pada 9 Mac lalu bahawa Tesco bersetuju untuk menjual perniagaannya di Thailand dan Malaysia kepada CPRD.

 

"Lanjutan kepada pengumuman ini pada 6 November lalu, Tesco dengan sukacitanya ingin mengesahkan bahawa CP Group kini telah mengkaji dan berpuas hati dengan notis kelulusan rasmi di Thailand.

 

"Bersama dengan kelulusan yang diterima daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di Malaysia pada 10 November lalu, bermakna tiada lagi syarat tertunggak dan penjualan ini dijangka selesai pada atau sekitar 18 Disember ini," jelas kenyataan tersebut.

 

Kepastian berkaitan perkara tersebut bagaimanapun masih tidak dapat disahihkan.

 

Menurut sumber dalaman Tesco, kenyataan rasmi akan dikeluarkan oleh pihak Tesco dalam masa terdekat berkaitan isu berkenaan.

 

"Pengumuman rasmi akan dikeluarkan oleh Tesco dalam masa terdekat," jelasnya selepas dihubungi oleh DagangNews.com hari ini.

 

Penjualan Tesco dimuktamadkan pada harga AS$10.6 bilion (RM43.1 bilion).

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tesco, Ken Murphy dalam kenyataan yang sama berkata, pihaknya berkeyakinan penuh bahawa CPRD akan dapat meneruskan kejayaan Tesco yang telah dikecapi selama ini.

 

"Penjualan ini juga membolehkan kami memberi tumpuan kepada perniagaan di seluruh Eropah dan untuk terus memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan, memberi sumbangan besar terhadap defisit pencen dan nilai pulangan kepada pemegang saham," ujar beliau. 

 

Menurut laporan The Edge pada 26 November lalu, Sime Darby Bhd. telah mendapat kelulusan bersyarat untuk menjual sebanyak 30% sahamnya dalam Tesco Stores (Malaysia) Sdn. Bhd.

 

Susulan itu, Sime Darby mencatatkan keuntungan sebanyak RM270 juta daripada penjualan sahamnya di Tesco Stores di Malaysia. - DagangNews.com