Syed Saddiq dihukum penjara 7 tahun, denda RM10 juta dan 2 sebatan | DagangNews Skip to main content

Syed Saddiq dihukum penjara 7 tahun, denda RM10 juta dan 2 sebatan

Syed Saddiq ditemani ibu, Shariffah Mahani Syed Abdul Aziz (kiri) ketika hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Khamis. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR 9 Nov - Bekas Menteri Belia Dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta selepas didapati bersalah terhadap empat tuduhan pecah amanah, salah guna wang dan pengubahan wang haram dana ARMADA Bersatu

 

Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid menjatuhkan hukuman itu selepas mendengar hujahan peguam bela bagi diringankan hukuman dan hujahan pemberatan hukuman oleh pendakwaan.

 

Sementara itu, hakim turut membenarkan permohonan Syed Saddiq bagi menangguhkan hukuman penjara sementara rayuan dikemukakan dan pada masa sama mengarahkan syarat jaminan dikekalkan.

 

Terdahulu, peguam Syed Saddiq dalam hujahan bagi diringankan hukuman berkata, anak guamnya itu menyesal, akur dan muhasabah diri dengan keputusan Mahkamah Tinggi mendapatinya bersalah empat tuduhan pecah amanah, salah guna wang dan pengubahan wang haram dana ARMADA Bersatu.

 

Dalam hujahannya bagi diringankan hukuman, peguam bela Haijan Omar memohon supaya anak guamnya dikenakan hukuman ringan dalam bentuk penjara atau denda sahaja.

 

Haijan berkata, Syed Saddiq yang belum berkahwin adalah anak bongsu daripada empat beradik dan perlu juga menjaga ibu dan bapanya, masing-masing berusia 66 dan 62 tahun yang juga pesara kerajaan.

 

BACA JUGA: Syed Saddiq didapati bersalah pecah amanah RM1.12 juta, pengubahan wang haram

 

Peguam itu berkata, mahkamah juga perlu menimbangkan jasa anak guamnya yang sebelum ini Menteri Belia dan Sukan sejak 2018 hingga 2020.

 

"Ketika beliau dilantik menjadi menteri, beliau dikenali di persada antarabangsa sebagai seorang menteri yang paling muda di Asia.

 

"Ketika berkhidmat, beliau diberi tugas mengetuai pindaan perlembagaan bersejarah di negara iaitu Undi18, yang membuka jalan kepada lebih tiga juta pemuda dan pemudi untuk mengundi bermula Pilihan Raya Umum ke-15.

 

"Antara sumbangan penting beliau ialah menaikkan elaun 'internship' dari RM300 ke RM900 selain melonjak nama Malaysia dalam bidang e-Sport." katanya, lapor Berita Harian, hari ini.

 

Haijan berkata, sebagai Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq juga melancarkan beberapa usaha untuk mendapatkan dana bagi menyumbang komputer riba dan tablet kepada beribu-ribu pelajar tidak berkemampuan di kawasan parlimennya.

 

Sementara itu, seorang lagi peguam bela Syed Saddiq, Gobind Singh Deo dalam hujahannya, memohon mahkamah menimbangkan faktor mitigasi di mana semua pihak menerima bahawa Syed Saddiq tidak menggunakan duit untuk tujuan peribadi.

 

Gobind berkata, bukti menunjukkan wang itu digunakan untuk membantu orang ramai ketika pandemik COVID-19 dan tujuan kebajikan lain.

 

"Kami juga memohon mahkamah menimbangkan pembelaan tertuduh sebelum menjatuhkan hukuman," katanya. - DagangNews.com