Syed Saddiq percaya mahkamah dan sistem kehakiman akan bersihkan namanya | DagangNews Skip to main content

Syed Saddiq percaya mahkamah dan sistem kehakiman akan bersihkan namanya

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengadkaan sidang akhbar di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Nov - Bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan bahawa dia akan terus menggunakan mahkamah dan sistem kehakiman bagi membersihkan namanya daripada sebarang tuduhan penyelewengan.

 

Beliau bagaimanapun menghormati keputusan yang dibuat hakim dan Mahkamah Tinggi hari ini dan menyatakan bahawa semua pihak perlu mempercayai sistem kehakiman negara kerana ia merupakan benteng terakhir kepada semua pihak termasuk dirinya.

 

Katanya, pihaknya akan memfailkan kes berkenaan ke Mahkamah Rayuan bagi mempertimbangkan semula hukuman yang dijatuhkan ke atas dirinya dan percaya bahawa dia memiliki peluang yang baik bagi membersihkan namanya daripada tuduhan itu.

 

"Berani kerana benar, berkata benar walaupun pahit. saya akan terus menggunakan institusi kehakiman bagi membersihkan nama saya dan saya tidak akan berhenti menegakkan kebenaran.

 

"Saya perlu terima kritikan dengan hati terbuka, tiada beza saya dengan orang lain.

 

BACA JUGA: Syed Saddiq dihukum penjara 7 tahun, denda RM10 juta dan 2 sebatan

 

"Di dalam politik ada jatuh bangun. Keputusan mengenai masa depan saya dalam politik sudah dibuat tetapi perlu dibentangkan kepada parti dan akan diumumkan pada petang ini," katanya dalam sidang akhbar di perkarangan Kompleks Mahakamah Kuala Lumpur, hari ini. 

 

Terdahulu, Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar dijatuhi hukuman penjara selama tujuh tahun, oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram melibatkan ARMADA Bersatu.

 

Mahkamah juga mengenakan denda sebanyak RM10 juta selain hukuman sebatan sebanyak dua kali dan sekiranya gagal membayar denda berkenaan, beliau diarahkan agar menjalani hukuman penjara selama empat tahun lagi.

 

Sementara itu, peguam belanya, Gobind Singh Deo berkata, pendirian pihaknya adalah jelas bahawa Syed Saddiq tidak bersalah tetapi pihaknya menerima keputusan hakim selepas pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie.

 

"Kita akan terus kemukakann rayuan ke Mahkamah Rayuan hari ini dan kami percaya kami mempunyai kes yang baik untuk didengari sebelum di bawa ke Mahkamah Persekutuan," katanya.  - DagangNews.com