T7 Global dapat kontrak dari firma Taiwan, Thailand | DagangNews Skip to main content

T7 Global dapat kontrak dari firma Taiwan, Thailand

Gambar hiasan

 


KUALA LUMPUR 5 Ogos - T7 Global Berhad memperoleh kontrak dari firma Taiwan dan Thailand bagi menyediakan perkhidmatan rawatan permukaan logam untuk bahagian aeroangkasa.

 

Kontrak itu diraih menerusi anak syarikatnya, T7 Kilgour Sdn. Bhd. yang mana ia memiliki 60% pegangan, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Syarikat penyedia penyelesaian tenaga itu berkata, pada 17 Julai lalu, T7 Kilgour menerima tempahan dari Global Tek Fabrication Co. Ltd. dan CCS Advance Tech Co. Ltd. berkaitan perkhidmatan pengujian, anodise, passivate, cat dan bahagian aeroangkasa.

 

Global Tek yang disenaraikan di Taiwan Stock Exchange terlibat dalam pembuatan dan pemesinan ketepatan serta menyediakan perkhidmatan penyelesaian menyeluruh bagi sektor penerbangan, automotif dan perindustrian. 

 

Sementara itu, CCS yang ibu pejabatnya terletak di Thailand terlibat dalam pemesinan Computer Numerical Control, pembuatan ketepatan, percetakan logam dan acuan plastik. 

 

Pengarah Eksekutif dan Ketua Bahagian Pertahanan dan Aeroangkasa T7 Global, Tan Kay Vin berkata, syarikat berbesar hati dapat bekerjasama dengan Global Tek dan CCS bagi perkhidmatan rawatan permukaan logam untuk bahagian aeroangkasa dan berharap dapat bekerjasama dengan mereka dalam tempoh jangka masa panjang. 

 

Ini kerana katanya, kedua-dua syarikat itu adalah pengeluar bahagian aeroangkasa di peringkat global. 

 

"Meskipun terdapat kelewatan dalam proses kelulusan ini disebabkan pandemik COVID-19, kami mampu menguruskannya dengan pihak berkuasa dan pelanggan, justeru berharap dapat meningkatkan tempahan kepada para pelanggan ini.

 

"Di samping itu, kami melihat ia juga membuka peluang kepada perkhidmatan rawatan permukaan logam kepada industri berbeza (bukan aeroangkasa) memandangkan Global Tek dan CCS juga membekalkan produk mereka kepada sektor automotif dan perindustrian," katanya. 

 

Kumpulan menjangkakan, tempahan itu akan menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham T7 Global bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021. - DagangNews.com