T7 Global raih kontrak Petronas untuk perkhidmatan pemeriksaan mini-ROV | DagangNews Skip to main content

T7 Global raih kontrak Petronas untuk perkhidmatan pemeriksaan mini-ROV

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Sept - T7 Global Berhad menerusi anak syarikatnya, Tanjung Offshore Services Sdn. Bhd. menerima surat anugerah daripada Petornas Carigali Sdn. Bhd. bagi menyediakan perkhidmatan pemeriksaan berasaskan platform di dalam laut.

 

Syarikat penyedia penyelesaian tenaga itu berkata, perkhidmatan pemeriksaan akan menggunakan kenderaan kendalian jauh mini (mini-ROV) di lebih 30 struktur luar pesisir seperti jaket dan saluran paip di Malaysia.

 

Kontrak berkenaan berkuat kuasa selama dua tahun sehingga 11 Ogos 2024.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Kay Zhuin berkata, pihaknya berbesar hati dan berterima kasih atas anugerah daripada Petronas itu kerana ia mencerminkan keyakinan terhadap penyelesaian Mini-ROV mereka.

 

Beliau berkata, perniagaan Mini-ROV dijangka memberikan hasil berulang tahunan untuk T7 Global. 

 

"Ini adalah kontrak mini-ROV ketiga kami, dengan kontrak sebelum ini telah diberikan oleh Petronas dan Pioneer Pegasus Sdn. Bhd., masing-masing pada 2019 dan 2021 untuk sejumlah 15 kerja pemeriksaan platform.

 

"Kami melihat ia sebagai perniagaan mampan jangka panjang dengan teknologi memainkan peranan penting dalam mengubah cara kami melaksanakan kerja-kerja pemeriksaan dan penyelenggaraan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Menurut kenyataan itu, Mini-ROV adalah antara inisiatif awal T7 Global yan bermula sebagai projek percubaan pada 2019 melalui segmen perkhidmatan pembinaan luar pesisirnya dengan syarikat itu menyepadukan teknologi pemeriksaan robotik padat ke dalam operasi di dalam laut.

 

Struktur luar pesisir dikehendaki menjalani ujian pemeriksaan biasa untuk mengesahkan kestabilan strukturnya dan T7 Global mampu memenuhi pasaran ini dengan cara yang lebih cekap.

 

Dengan menggunakan Mini-ROV untuk pemeriksaan dan perkhidmatan penyelenggaraan dalam air, pelanggan T7 Global akan menikmati penjimatan masa dan kos yang berharga berbanding pemeriksaan bawah air konvensional ditambah dengan penggunaan kapal laut. - DagangNews.com