TA Research positif terhadap prospek perkhidmatan 3PL, dijangka berperanan kukuhkan keseluruhan rantaian bekalan | DagangNews Skip to main content

TA Research positif terhadap prospek perkhidmatan 3PL, dijangka berperanan kukuhkan keseluruhan rantaian bekalan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Jan - TA Research positif terhadap prospek perkhidmatan logistik pihak ketiga (3PL) kerana ia dijangka memainkan peranan penting dalam mengukuhkan keseluruhan rantaian bekalan berikutan konflik perdagangan serta ketegangan geopolitik.

 

Katanya, pengendali 3PL membolehkan pelbagai proses pergudangan, perolehan dan pengedaran bahan mentah, penyatuan antara pengangkutan dan urusan berkaitan kastam selain mempercepatkan penghantaran barang.

 

"Paling penting, kos tambahan untuk memiliki perkhidmatan 3PL adalah tidak begitu tinggi jika dibandingkan dengan kos gangguan operasi, yang tidak dapat ditanggung," katanya dalm satu nota kajian.​

 

Firma penyelidikan itu memilih CJ Century Logistics Holdings Berhad sebagai pilihan utama bagi syarikat 3PL di bawah liputannya dengan penilaian 50 sen sesaham.

 

TA Securities mengekalkan penarafan 'neutral' terhadap sektor pengangkutan, selain menyatakan potensi peningkatan dalam kadar perkapalan global berikutan gangguan kepada syarikat perkapalan di Laut Merah.

 

Katanya, mereka sedang dalam kajian untuk melihat kesan perang Israel-Hamas terhadap sektor itu.

 

Di peringkat global, saham firma perkapalan utama termasuk Maersk, Hapag-Lloyd, Cosco dan Evergreen dirangsang oleh lonjakan kos penghantaran, hasil daripada kos operasi yang lebih tinggi.

 

Katanya, terdapat juga manfaat limpahan kepada operator logistik dan pergudangan tempatan jika perang berterusan untuk tempoh yang panjang kerana pengilang Malaysia dijangka meningkatkan penyimpanan bahan mentah bagi mengelakkan gangguan pengeluaran.

 

"Implikasi positif telah pun dicerminkan dalam prestasi harga saham kaunter logistik dan pelabuhan baru-baru ini, pada pendapat kami," katanya. - DagangNews.com