TA Research 'potong' unjuran pendapatan Kim Loong bagi FY22-FY24 ekoran pengeluaran buah sawit lebih rendah | DagangNews Skip to main content

TA Research 'potong' unjuran pendapatan Kim Loong bagi FY22-FY24 ekoran pengeluaran buah sawit lebih rendah

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 29 Sept - TA Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap Kim Loong Resources Bhd. dengan harga sasaran lebih rendah pada RM1.97 berbanding RM2.16 sesaham sebelum ini. 

 

Sejajar dengan semakan itu, unjuran pendapatannya dikurangkan sebanyak 6.4% hingga 9.3% bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2022 (FY22) hingga FY24 selepas mengambil kira pengeluaran buah tandan segar yang lebih rendah selaras dengan panduan yang diberikan pengurusan kumpulan. 

 

Firma itu menjangkakan penuaian buah tandan segar bagi FY23 dan FY24 masing-masing akan meningkat 10.3% dan 5%berikutan peningkatan hasil dan sumbangan daripada pengambilalihan tanah di Sabah.

 

"Tetapi, pengurusan memberi panduan yang kos pengeluaran minyak sawit mentah dijangka meningkat ekoran kenaikan kos baja, kadar inflasi yang tinggi dan semakan gaji minimum. 

 

"Namun, kumpulan menjangkakan ia akan merekodkan prestasi yang baik pada FY23," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Pada suku kedua berakhir 31 Julai 2022, untung bersih Kim Loong meningkat 37.4% kepada RM49.67 juta berbanding RM36.15 juta disokong harga minyak sawit mentah yang lebih tinggi.

 

Pendapatan bagi tempoh itu turut meningkat 40.8% kepada RM564.37 juta daripada RM400.83 juta dipacu oleh pengeluaran buah tandan segar yang tinggi dan harga jualan purata minyak sawit mentah.

 

Bagi tempoh enam bulan berakhir 31 Julai 2022, untung bersihnya meningkat 37.8% kepada RM88.89 juta daripada RM64.53 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya manakala pendapatan meningkat 50.6% kepada RM1.07 bilion. 

 

Bagaimanapun, TA Research berkata, prestasi kewangan pada suku kedua itu adalah di bawah jangkaan firma. 

 

Katanya, dengan mengeluarkan pengecualian item, untung bersih Kim Loong boleh melonjak 39.7% tahun ke tahun kepada RM51.6 juta. 

 

"Perbezaan ini terutamanya disebabkan pertumbuhan pengeluaran buah tandan segar yang lebih rendah daripada jangkaan," katanya. 

 

Setakat 9.06 pagi, harga sahamnya menokok 3 sen atau 1.81% kepada RM1.69 dengan 4,000 saham diniagakan. -DagangNews.com