KUALA LUMPUR 14 Jun - TA Securities memberi harga wajar sebanyak 37 sen terhadap UUE Holdings Bhd yang akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
Saranan itu adalah berdasarkan kepada nisbah harga kepada pendapatan (PE) sebanyak sembilan kali ganda daripada pendapatan sesahamnya bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.
Katanya, kumpulan itu mencapai pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) hasil dua tahun sebanyak 31% kepada RM88.7 juta dari FY21 hingga FY23, sebahagian besarnya didorong oleh peningkatan pengiktirafan hasil daripada bahagian rumusan kejuruteraan utiliti bawah tanah.
Firma penyelidikan itu berkata, ia disokong oleh permintaan industri yang teguh untuk penyelesaian kejuruteraan utiliti bawah tanah daripada sektor elektrik dan telekomunikasi, hasil daripada perbelanjaan modal (capex) yang lebih tinggi yang diperuntukkan bagi penggantian kabel serta menaik taraf infrastruktur bawah tanah.
"Selaras dengan pertumbuhan hasil, pendapatan terasnya melonjak kepada RM14.3 juta daripada RM7.6 juta dalam tempoh tiga tahun.
“Pendapatan teras FY23 merosot sedikit kepada RM14.3 juta (5.3% tahun ke tahun), berikutan perbelanjaan pentadbiran yang lebih tinggi berpunca daripada pelarasan gaji dan pengambilan baharu,” katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
TA Securities berkata, walaupun kumpulan itu tidak mempunyai dasar dividen rasmi, andaian pembayaran dividen yang adil sebanyak 15% adalah wajar, memandangkan pertumbuhan pendapatan yang stabil dalam masa terdekat dan aliran tunai operasi yang positif.
“Melangkah ke hadapan, kami menganggarkan kumpulan mencatat pertumbuhan pendapatan teras masing-masing sebanyak 34.1%, 15.2% dan 15.5% kepada RM19.2 juta, RM22.1 juta dan RM25.6 juta untuk FY24 hingga FY26.
“Pertumbuhan ini didorong terutamanya oleh andaian buku pesanan sebanyak RM223.4 juta akan diiktiraf dalam tiga tahun kewangan akan datang selain sasaran penambahan semula projek kira-kira RM100 juta setahun dan sumbangan baharu daripada projek dasar laut selepas pemerolehan jentera HDD dasar laut," katanya. - DagangNews.com