TA Securities positif terhadap cadangan PGF Capital ambil alih tanah di Kulim bagi pembesaran masa hadapan | DagangNews Skip to main content

TA Securities positif terhadap cadangan PGF Capital ambil alih tanah di Kulim bagi pembesaran masa hadapan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Sept - TA Securities positif terhadap cadangan PGF Capital Bhd mengambilalih tanah seluas 9.7 hektar di Kulim, Kedah bagi menyelesaikan isu kekurangan kapasiti dan pada masa sama menampung pembesaran pada masa hadapan.

 

Katanya, pengembangan kapasiti lebih daripada dua kali ganda adalah penting kepada kumpulan itu bagi memenuhi permintaan yang amat menggalakkan.

 

"Kapasiti sedia ada kumpulan itu telah digunakan sepenuhnya bagi memenuhi jualan pasaran perumahan Australia dan New Zealand bagi mematuhi dasar perumahan hijau dan mampan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan tu menerusi NetZero Technology Sdn Bhd, telah memeterai perjanjian jual beli (SPA) bagi pengambilalihan tanah yang terletak di Pekan Padang Meha, Kulim, Kedah, daripada Senam Jaya Sdn Bhd dan tanah ini akan dibangunkan menjadi Taman Perindustrian Timur Kulim.

 

Katanya, tanah itu akan dibangunkan secara berfasa. Di bawah Fasa 1, sebuah kilang pembuatan baharu akan dibina bagi meningkatkan jumlah kapasiti pengeluaran penebat tahunan kumpulan sebanyak 160% atau 40,000 tan metrik, daripada 25,000 tan metrik sedia ada kepada 65,000 tan metrik.

 

ARTIKEL BERKAITAN: PGF Capital ambil alih tanah berharga RM40 juta di Kulim bagi tingkatkan pengeluaran penebat

 

Firma penyelidikan itu berkata, dari segi pembiayaan, kumpulan itu mempunyai tunai bersih sebanyak RM9.6juta pada 31 Mei 2024, menunjukkan ruang hutang yang mencukupi untuk membiayai keseluruhan keperluan modal sebanyak RM200 juta untuk tanah, bangunan, kilang dan juga jentera.

 

Selain itu, katanya, penukaran waran oleh pengasas pada Jun 2024 juga menyumbang kepada tunai tambahan sebanyak RM10 juta.

 

"Kami tidak membuat sebarang perubahan kepada unjuran keuntungan FY25-FY26 kumpulan. 

 

"Kami memperkenalkan ramalan pendapatan FY27 sebanyak RM65.6 juta dengan campuran perolehan sebelum faedah dan cukai (EBIT) sebanyak 48% dan 52% daripada bahagian penebat dan hartanah," katanya.

 

TA Securities mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran RM2.76 sesaham. - DagangNews.com