Harga tiket kapal terbang dijangka naik akibat masalah Malaysia Airlines - Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Harga tiket kapal terbang dijangka naik akibat masalah Malaysia Airlines - Maybank IB

Harga bahan api yang rendah lazimnya akan menyaksikan pengurangan kadar tambang. Gambar hiasan Malaysia Airports
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 19 Sept - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menjangkakan harga tiket kapal terbang akan meningkat susulan keputusan Malaysia Airlines mengurangkan kapasiti tempat duduk secara sementara. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, keseluruhannya kos operasi syarikat penerbangan kini lebih rendah berikutan pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) di samping harga bahan api jet yang lebih murah.

 

Katanya, keadaan ini lazimnya mendorong syarikat penerbangan menurunkan kadar tambang pada masa-masa lalu apabila perbelanjaan lebih rendah agar tidak kehilangan bahagian pasaran. 

 

"Namun, kami percaya syarikat penerbangan tidak akan berbuat demikian kali ini setelah Malaysia Airlines mengurangkan kapasiti sementara sebanyak 18% sehingga akhir tahun. 

 

"Ini akan membolehkan syarikat penerbangan lain menaikkan tambang akibat pengurangan bekalan industri," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut Maybank IB, perkara yang sama pernah berlaku pada tahun 2015 dan 2016 selepas tragedi pesawat Malaysia Airlines MH370 dan MH17. 

 

"Setiap kenaikan RM1 dalam tambang purata AirAsia Malaysia akan menyumbang RM25 juta hingga RM35 juta setahun kepada pendapatan Capital A Bhd dan setiap kenaikan RM1 dalam tambang purata akan menyumbang RM3 juta setahun kepada pendapatan AirAsia X Bhd," jelasnya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Kapten Izham mohon maaf pemotongan rangkaian, langkah itu pastikan 'Malaysia Airlines adalah syarikat penerbangan selamat'

 

Sementara itu, firma penyelidikan itu menyifatkan arah tiupan angin dalam sektor penerbangan kini telah berubah kepada positif susulan penurunan ketara dolar AS dan bahan api jet.

 

Katanya, dua faktor berkenaan mengurangkan perbelanjaan syarikat penerbangan sekali gus menyokong sektor ini.

 

"Kami juga mendapati bahawa tambang akan meningkat susulan keputusan MAS untuk mengurangkan kapasiti secara sementara. 

 

"Kami mengekalkan saranan 'Beli' untuk Capital A dan AAX, serta anggaran pendapatan dan harga sasaran kami buat masa ini. 

 

"Namun, dalam senario ‘langit biru’, kami menganggarkan bahawa anggaran pendapatan FY25 untuk Capital A dan AAX mungkin boleh berganda jika ringgit yang lebih kukuh dan harga bahan bakar jet yang lebih rendah terus kekal," ujarnya. - DagangNews.com