TA Securities positif terhadap cadangan Sunway ambil alih 40% kepentingan Iskandar Assets bernilai RM85 juta | DagangNews Skip to main content

TA Securities positif terhadap cadangan Sunway ambil alih 40% kepentingan Iskandar Assets bernilai RM85 juta

Gambaran Sunway City Iskandar Puteri
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 15 Ogos - TA Securities positif terhadap cadangan Sunway Berhad untuk mengambil alih 40% kepentingan rakan kongsi usaha samanya, Iskandar Assets Sdn Bhd (IASB) dalam Sunway Iskandar Development Sdn Bhd (SIDSB) yang bernilai RM85 juta.

 

Menurut firma penyelidikan itu, pertimbangan pembelian dan langganan bagi mendapatkan pemilikan penuh Sunway City Iskandar Puteri (SCIP) adalah saksama, selepas mempertimbangkan nilai pasaran tanah milik SIDSB , yang ditentukan oleh penilaian bebas.

 

Jelasnya, pertimbangan tersebut juga dianggap munasabah, memandangkan ia mewakili premium kira-kira RM7.3 juta lebih 40% daripada aset bersih SIDSB.

 

“Dengan kira-kira 445 hektar baki simpanan tanah dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan RM18 bilion dalam SCIP, kawalan penuh yang diperoleh terhadap masa pelancaran dan campuran produk meningkatkan potensi keuntungan kumpulan.

 

“Menurut pihak pengurusan, pembangunan akan datang di Sunway City Iskandar Puteri bakal terdiri daripada dua presint utama, Riverside dan Capital, yang menampilkan nisbah plot rendah pada 1:1,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, Sunway Bhd berkata anak syarikatnya, Sunway City Sdn Bhd telah memeterai perjanjian transaksi saham dengan IASB, anak syarikat milik penuh Iskandar Investment Bhd (IIB), untuk mengambil alih 40% kepentingan IASB dalam Sunway Iskandar Development Sdn Bhd (SIDSB) dengan jumlah pertimbangan RM85 juta.

 

Ini melibatkan Sunway City memperoleh 40% kepentingan SIDSB daripada IASB dengan harga RM770,450 dan melanggan saham keutamaan boleh tebus tidak boleh tukar bukan kumulatif (NCRPS) bernilai RM84.2 juta dalam SIDSB.

 

Hasil daripada NCRPS akan membolehkan SIDSB membeli semula 76.3 juta NCRPS daripada IASB dengan harga RM84.2 juta, akhirnya Sunway City dapat memiliki sepenuhnya SIDSB.

 

Pengambilalihan itu, yang akan dibiayai dengan dana yang dijana secara dalaman, dijangka selesai pada suku ketiga tahun ini.

 

“Kami mengekalkan ramalan pendapatan tahun kewangan 2023 hingga 2025 (FY23-25) kerana kami menjangkakan kesan pendapatan adalah minimum daripada pengambilalihan dalam masa terdekat,” kata TA Securities.

 

Firma itu mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) RM2.27 sesaham.

 

Pada waktu penulisan, saham Sunway menokok 4 sen atau 2.2% kepada RM1.87 dengan permodalan pasaran sebanyak RM9.3 bilion. - DagangNews.com