KUALA LUMPUR 23 April - TA Securities menyemak turun ramalan pendapatan Gadang Holdings Bhd sebanyak 41.2% pada FY24 kesan daripada keputusan suku tahun yang lebih lemah daripada jangkaan.
Selain itu, mereka turut memotong unjuran pendapatan kumpulan pada FY25 dan FY26 masing-masing sebanyak 20.8% dan 15.3%.
Memandangkan keputusan yang lebih lemah daripada jangkaan,firma penyelidikan itu telah melaraskan pengebilan kemajuan dan andaian margin untuk projek tertentu yang sedang berjalan.
"Kami juga mengurangkan andaian penambahan buku pesanan baharu pada FY24/25/26 kepada RM150 juta/RM500 juta/RM500 juta masing-masing daripada RM600juta/tahun, memandangkan kumpulan itu masih belum memperoleh sebarang pekerjaan baharu pada FY24.
"Sehingga akhir Februari 2024, buku pesanan pembinaan kumpulan dan jualan hartanah tidak dibilkan masing-masing mencecah RM1 bilion dan RM250 juta, menunjukkan prospek pendapatan yang menjanjikan untuk dua tahun akan datang.
ARTIKEL BERKAITAN: Gadang kembali catat untung bersih RM6.47 juta pada 3QFY24 didorong sumbangan lebih tinggi bahagian hartanah
"Bahagian hartanah dijangka muncul sebagai pemacu pendapatan utama, didorong oleh insentif pakej jualan yang menarik. Bagaimanapun, penambahan buku pesanan yang perlahan untuk bahagian pembinaan masih menjadi kebimbangan jangka pendek," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
TA Securities berkata, pendapatan teras Gadang bagi 9MFY24 sebanyak RM7.1 juta adalah di bawah jangkaan, menyumbang hanya 42.3% daripada anggaran tahun penh mereka.
Katanya, varians negatif sebahagian besarnya disebabkan oleh kemajuan kerja yang lebih perlahan daripada jangkaan di bahagian pembinaan, dan kos operasi yang lebih tinggi daripada jangkaan dalam kedua-dua bahagian pembinaan dan utiliti.
"Kami mengekalkan saranan 'jual' dengan harga sasaran 22 sen sesaham," katanya. - DagangNews.com