Tabung Haji teruskan Bantuan Kewangan Haji untuk golongan B40 pada tahun hadapan | DagangNews Skip to main content

Tabung Haji teruskan Bantuan Kewangan Haji untuk golongan B40 pada tahun hadapan

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 19 Okt - Lembaga Tabung Haji (TH) akan meneruskan Bantuan Kewangan Haji secara bersasar pada tahun hadapan bagi memastikan ia dimanfaatkan sepenuhnya oleh golongan yang paling memerlukan.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, kos haji Muasassah dijangka terus meningkat sekitar RM31,000 seorang pada tahun hadapan, berbanding RM28,632 tahun ini.

 

Beliau berkata, pihaknya sentiasa memantau dan bekerjasama dengan TH untuk sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan yang terbaik dengan kos yang berpatutan bagi para jemaah haji Malaysia.

 

"Bagi persiapan musim haji tahun hadapan, TH sedang membuat penilaian dan penelitian atas semua aspek operasi yang merangkumi keperluan jemaah haji sebelum berlepas, kebajikan semasa di Tanah Suci sehinggalah mereka kembali semula ke Tanah Air," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Kesyukuran Tamat Operasi Haji Dan Penghargaan Kepada Sahabat Korporat TH Musim Haji 1443H di Dewan Besar TH di sini, hari ini.

 

Menurut Idris, TH kekal komited untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada semua jemaah haji Malaysia pada setiap musim haji. 

 

Beliau berkata, meskipun operasi haji pada musim 1443H ini berbeza dari tahun sebelumnya, TH telah berjaya mengurus perjalanan haji kesemua jemaah haji dengan baik.

 

 

th
Datuk Idris Ahmad

 

 

“Alhamdulillah pada tahun ini saya sempat meninjau persediaan haji TH di Kompleks Haji Sepang dan kemudiannya melihat sendiri bagaimana para petugas TH mengurus dan menyantuni para jemaah haji yang pelbagai karenah ketika di Tanah Suci, terutama ketika Masya’ir.

 

“Saya kagum dengan komitmen dan kerja keras yang ditunjukkan, justeru syabas dan terima kasih saya ucapkan kepada semua petugas yang telah menabur khidmat bakti sepanjang operasi haji 1443H/2022M samada di Tanah Air atau di Tanah Suci," katanya.

 

Bagaimanapun katanya, kejayaan operasi haji musim 1443H ini adalah hasil daripada kerjasama padu dan sokongan penuh diberikan oleh pelbagai pihak terutamanya agensi kerajaan dan swasta.

 

Dalam pada itu, TH telah menerima sumbangan bernilai RM1.8 juta daripada 12 organisasi melalui program 'Sahabat Korporat TH' yang turut membantu melancarkan urusan ibadah jemaah haji Malaysia. 

 

Sumbangan tersebut adalah dalam bentuk wang tunai dan barangan keperluan asas jemaah haji seperti beg beroda, beg sandang, tikar jemaah, tikar sejadah, bahan bacaan seperti buku-buku doa, peralatan kesihatan dan kelengkapan harian. - DagangNews.com