GEORGE TOWN 2 Nov - Rangkaian makanan segera popular Amerika Syarikat, Taco Bell menyasarkan pembukaan 20 cawangan restoran di Malaysia menjelang akhir tahun ini dan 22 lagi restoran pada 2023 untuk memenuhi permintaan tinggi daripada pasaran.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengendali Utama Francais Taco Bell Malaysia dan Singapura, Harris Beh berkata syarikat itu pada masa ini mempunyai 15 cawangan di Malaysia termasuk restoran terbaharunya di Pulau Pinang.
Beliau berkata, pihaknya sedang merancang strategi pengembangan yang agresif yang memerlukan kemahiran dan visi.
Taco Bell ujar beliau, mempunyai pengendali berpengalaman dan pasukan pengurusan berdedikasi terhadap kerja mereka di syarikat ini.
“Taco Bell telah mencipta segmen baharu dalam segmen restoran khidmat pantas di Malaysia dan antara perkara paling menarik mengenai segmen ini adalah ia tiada had untuk pengembangannya,” katanya kepada Bernama.
Pelancaran cawangan Taco Bell City Junction di Pulau Pinang merupakan pembukaan cawangan ke-15 syarikat itu di Malaysia dan yang pertama di utara Semenanjung.
Melangkah ke hadapan, Beh berkata ia juga merancang untuk menyediakan tiga khidmat pandu lalu Taco Bell tahun depan.
Sementara itu, Ketua Pemasaran dan Komunikasi Taco Bell, Gita Sriram berkata rakyat Malaysia dapat menikmati makanan berinspirasikan masakan Mexico seperti taco, quesadilla dan burrito.
Beliau berkata antara kelebihan Taco Bell ialah harga makanannya yang berpatutan dan menyediakan perkhidmatan terbaik berbanding dengan restoran makanan segera yang lain.
"Kami teruja untuk menjalankan perniagaan di Malaysia dan merancang untuk membuka lebih banyak lagi cawangan di negara ini,” katanya. - DagangNews.com