Tahap ketegasan Malaysia antara yang paling ketat, kata Menteri Kewangan | DagangNews Skip to main content

Tahap ketegasan Malaysia antara yang paling ketat, kata Menteri Kewangan

Malaysia

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 24 Ogos - Malaysia adalah antara negara yang memberi tindak balas paling paling ketat dan tegas dalam usaha mengawal penularan COVID-19.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, perkara tersebut diukur dalam satu indeks yang dibangunkan khas oleh Universiti Oxford untuk menerangkan hubung kait kadar jangkitan wabak dan pertumbuhan ekonomi.

"Universiti Oxford telah membangunkan sebuah Indeks Tahap Ketegasan Kerajaan-kerajaan Sedunia dalam mengawal penularan wabak di nagara masing-masing.

"Indeks ini mendapati bahawa tindak balas kerajaan Malaysia merupakan salah satu kawalan yang paling ketat di rantau ini," katanya dalam ucapan penggulungan Rang Undang-Undang Langkah-langkah Sementera bagi Pembiayaan Kerajaan (COVID-19) 2020, di Dewan Rakyat hari ini.

Zafrul Tengku Abdul Aziz
Zafrul Tengku Abdul Aziz 

 

Beliau merumuskan perkara tersebut berhubung persoalan dewan sebelum ini berkaitan prestasi ekonomi negara berikutan impak COVID-19.

Tambah beliau, terdapat juga beberapa buah negara yang tidak melaksanakan kawalan pergerakan penuh (total lockdown) yang akhirnya tidak menjejaskan ekonomi negara-negara berkenaan.

Sebaliknya, kadar jangkitan dan kematian akibat COVID-19 di negara tersebut adalah tinggi.

"Di sini penting untuk kita mengambil kira bahawa negara-negara lain seluruh dunia juga turut mengalami penguncupan dalam KDNK suku kedua 2020.

"Ini bermaksud kerajaan Perikatan Nasional telah mengambil tindakan tegas yang diperlukan demi mengutamakan kehidupan dan keselamatan rakyat. Alhamdulillah keadaan kini semakin stabil walaupun perlu sentiasa berwaspada," tambahnya lagi.

Dalam ucapan sama, beliau turut mengakui bahawa Malaysia tidak terkecuali daripada krisis global tersebut yang memberi kesan kepada penguncupan Keluaran Dalam Negera Kasar (KDNK) pada suku kedua 2020 iaitu 17.1%.

Bagaimanapun, beliau menegaskan agar perkara tersebut perlu dilihat dalam konteks usaha-usaha yang telah dijalankan kerajaan bagi memerangi wabak dan meratakan lekuk ekonomi sejak Mac lalu. - DagangNews.com