Taiping terima anugerah Destinasi Alam Mesra Muslim Terbaik pada WITA 2023 | DagangNews Skip to main content

Taiping terima anugerah Destinasi Alam Mesra Muslim Terbaik pada WITA 2023

Keindahan Taman Tasik Taiping menjadikan ia sebagai lokasi riadah dan percutian yang popular.
Oleh Zaki Salleh

TAIPING 22 Sept - Majlis Perbandaran Taiping (MPT) mencatat sejarah tersendiri apabila menerima anugerah Destinasi Alam Mesra Muslim Terbaik sempena majlis Anugerah Pelancongan Islam Dunia 2023 (WITA 2023).

 

Yang Dipertua MPT, Khairul Amir Mohamad Zubir berkata, anugerah tersebut merupakan pencapaian yang sangat bermakna kepada warga MPT.

 

Menurut beliau, ia datang pada waktu sangat tepat dengan Sambutan 150 Tahun Bandar Taiping dan Tahun Melawat Perak 2024 yang semakin hampir. 

 

"Pengiktirafan ini adalah usaha gigih yang telah kita sumbangkan dalam mempromosikan Taiping sebagai destinasi pelancongan yang mesra Muslim dan menonjolkan keindahan semula jadi yang kita miliki. 

 

Anjuran
Delegasi MPT bersama anugerah yang diterima.

 

"Ini adalah bukti bahawa MPT terus komited dalam memastikan pelancongan di Taiping adalah berteraskan prinsip-prinsip yang menjunjung tinggi nilai-nilai agama dan kelestarian alam," ujarnya dalam kenyataan.

 

Pengarah Perancang dan Pembangunan Bandar MPT, Syahrulnizam Baharom dan Ketua Bahagian Korporat, Perhubungan Awam dan Pelancongan, Muhammad Hafizzuddin Azhar mewakili MPT menerima anugerah itu 

 

WITA berlangsung di Sunway Resort Hotel, Selangor dianjurkan bagi menghargai mereka yang menyumbang kepada kejayaan dalam industri pelancongan Islam. 

 

Taman

 

Sebanyak 55 anugerah diberikan kepada individu dan pemain industri yang bekerja keras memastikan industri pelancongan Islam di rantau ini terus pada tahap terbaik.

 

Penerima anugerah ini telah dipilih dengan teliti menerusi piawaian pematuhan yang ditetapkan oleh panel pemilih WITA yang masing-masing berpengalaman lebih daripada 30 tahun dalam industri pelancongan. - DagangNews.com