Tajudin Rahman dilantik Pengerusi Wasiyyah Shoppe Berhad | DagangNews Skip to main content

Tajudin Rahman dilantik Pengerusi Wasiyyah Shoppe Berhad

Ahmad Tajudin dan Aziah Ali diumumkan pelantikan ke Lembaga Pengarah Wasiyyah Shoppe Berhad.


 

KUALA LUMPUR 1 Mac - Wasiyyah Shoppe Berhad, syarikat amanah patuh syariah peneraju di Malaysia, hari ini mengumumkan rombakan Lembaga Pengarahnya dengan pelantikan Datuk Ahmad Tajudin Abdul Rahman sebagai Pengerusi Lembaga Pengarahnya yang baru, berkuatkuasa 2 Februari 2021.

 

Pelantikan beliau dibuat susulan pesaraan Pengerusi Lembaga Pengarah sebelum ini, Datuk Ahmad Khairummuzammil Mohd Yusof pada Disember 2020.

 

Memulakan kerjaya di dalam bidang perbankan bersama Bank Bumiputera Malaysia Berhad Malaysia pada 1971, beliau berpengalaman selama 27 tahun di dalam sektor perbankan dengan jawatan terakhir beliau ialah sebagai Pengarah Urusan Bank Islam Malaysia Berhad sebelum bersara pada 1998.

 

Ahmad Tajudin juga pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia ( YPEIM ) dari 1998 sehingga 2013. Kepakaran dan pengalaman beliau sebagai salah seorang pelopor perbankan Islam di Malaysia diiktiraf apabila beliau dilantik sebagai ahli Majlis Pengawasan Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dari 2016 sehingga 2020.

 

wasiyyahshoppe

 

Selain pengerusi, Wasiyyah Shoppe Berhad juga mengumumkan pelantikan ahli Lembaga Pengarah yang baru, Tan Sri Datuk Wira Aziah Ali berkuatkuasa 1 Mac 2021. Beliau  berpengalaman luas selama 40 tahun di dalam perkhidmatan perundangan dan kehakiman Malaysia.

 

Beliau telah berkhidmat dengan Kerajaan Malaysia di pelbagai jawatan perundangan dan kehakiman bermula dari tanggungjawab sebagai Penasihat undang-undang, Pesuruhjaya Kehakiman, Hakim Mahkamah Tinggi Sivil, Hakim Mahkamah Rayuan sehinggalah memegang tanggungjawab sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan sebelum bersara pada  2018.

 

Selepas bersara, Aziah berkhidmat sebagai ahli Lembaga Pengarah di beberapa syarikat senaraian awam sehingga kini.

 

Wasiyyah Shoppe Berhad yakin pelantikan kedua-dua tokoh yang berpengalaman luas di dalam perbankan Islam dan perundangan ini mampu memberi sumbangan signifikan kepada usaha pemantapan tahap tadbir urus korporat syarikat serta membantu di dalam usaha memacu Wasiyyah Shoppe Berhad untuk terus kekal sebagai syarikat amanah patuh syariah peneraju di Malaysia. - DagangNews.com