Taman Perindustrian Kertih Terengganu bernilai RM680 juta bakal lonjak sosio ekonomi Terengganu | DagangNews Skip to main content

Taman Perindustrian Kertih Terengganu bernilai RM680 juta bakal lonjak sosio ekonomi Terengganu

Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (tengah) menerima cenderahati daripada Datuk Joey Lim Hock Guan (dua dari kanan) selepas perasmian projek Taman Perindustrian Kertih Terengganu (KTIP) di sebuah resort di sini. - Foto Bernama

KEMAMAN 7 Mac - Taman Perindustrian Kertih Terengganu (KTIP) bernilai RM680 juta di sini akan menjadi pemangkin kepada perkembangan infrastruktur dan perkhidmatan sokongan bagi industri hiliran di sekitar Kemaman, dan Terengganu secara amnya.

 

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata sebahagian daripada perancangan KTIP adalah Projek Kertih yang akan menjadi kompleks loji penapisan biopolimer dan biokimia generasi kedua terbesar di Asia dengan membabitkan nilai pembangunan kasar (NPK) RM680 juta.

 

“Penduduk Terengganu juga bakal menikmati curahan ekonomi menerusi peluang pekerjaan yang akan ditawarkan KTIP dalam pelbagai bidang dan kemahiran.

 

“Pelabur dapat menjalankan perniagaan di samping menikmati pelbagai insentif cukai yang disediakan di Zon Ekonomi Khas, Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) selain ia menyediakan pintu masuk ke pasaran Asia-Pasifik, Eropah, Amerika dan Timur Tengah,” katanya kepada pemberita melancarkan projek pembangunan KTIP di sini, pada Ahad.

 

Hadir sama Pengarah Urusan Kumpulan MGB, Datuk Joey Lim Hock Guan; Ketua Pegawai Eksekutif MGB Bhd, Datuk Richard Lim Lit Chek; Pengarah Retro Court Sdn Bhd, Datuk Hendri Dahlan serta Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed.

 

Ahmad Samsuri berkata fasa satu bagi projek KTIP yang akan dibangunkan di kawasan seluas 407 hektar itu dijangka siap menjelang 2024.

 

Sementara itu, Burhanuddin Hilmi berkata TI Properties telah menandatangani satu perjanjian konsortium dengan Retro Court Sdn Bhd, yang merupakan anak syarikat LBS Bina Group Bhd untuk membangunkan projek KTIP pada September tahun lepas.

 

Beliau berkata lokasi KTIP sangat strategik memandangkan ia berada dalam hab bioekonomi bersepadu melibatkan industri biopolimer dan produk kimia berasaskan bio, lapor Bernama.

 

“Ini memberi akses kepada infrastruktur dan kemudahan sedia ada seperti loji pemprosesan gas dan loji penapisan minyak.

 

“KTIP juga mempunyai kemudahan logistik penting di wilayah Pantai Timur melalui Pelabuhan Kemaman dan Kertih serta Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang akan menghubungkan bandar-bandar utama di Pantai Timur serta menambah baik kesalinghubungan ke Pantai Barat, melalui Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Putrajaya dan Selangor,” katanya. - DagangNews.com