Taman Tamadun Islam di Terengganu sasar 600,000 pelancong, jualan RM6.5 juta untuk tahun 2022 | DagangNews Skip to main content

Taman Tamadun Islam di Terengganu sasar 600,000 pelancong, jualan RM6.5 juta untuk tahun 2022

Masjid Kristal adalah tarikan utama pelancong ke Taman Tamadun Islam di Pulau Wan Man, Terengganu. - DagangNews.com
oleh HUSNA ABDULLAH

KUALA TERENGGANU 18 Ogos - Taman Tamadun Islam (TTI) Management Sdn Bhd, anak syarikat kerajaan negeri Terengganu yang menguruskan pusat pelancongan berkonsepkan pendidikan interaktif dan sejarah peradaban Islam di sini menyasarkan kedatangan 600,000 pelancong sepanjang tahun 2022.

 

Pengurus Besar TTI, Ahmad Bukhori Ghazali berkata, pihaknya yakin dapat mencapai sasaran itu kerana setakat Julai lepas, TTI telah merekodkan kedatangan seramai 470,772 pelancong dari seluruh dunia.

 

Katanya, setelah dua tahun tidak dapat beroperasi akibat pandemik COVID-19, kini TTI bangkit semula sebagai destinasi pelancongan unggul yang menjadi rujukan dunia kerana memaparkan sejarah keagungan dan kegemilangan Islam.

 

"Selaras peningkatan kedatangan pelancong itu, kita juga yakin dapat mencapai sasaran jualan sebanyak RM6.5 juta sepanjang tahun ini. Jumlah itu adalah peningkatan RM1.5 juta berbanding jualan RM4 juta yang direkodkan pada tahun 2019.

 

"Kita yakin dapat mencapai sasaran itu berikutan prestasi jualan memberangsangkan sebanyak RM3.9 juta yang diperoleh setakat suku kedua tahun ini dan kita akan terus memperhebatkan pelbagai strategi untuk memastikan ia tercapai," katanya kepada DagangNews.com hari ini.

 

Terletak di Pulau Wan Man di sini, Taman Tamadun Islam adalah antara destinasi pelancongan terkenal di dunia kerana menjadi pusat sehenti pertama yang menempatkan 23 monumen replika masjid yang menjadi lambang keagungan dan kegemilangan peradaban Islam satu ketika dulu.


 

Pengurus Besar TTI, Ahmad Bukhori Ghazali
                                  Ahmad Bukhori Ghazali

 


Mengulas lanjut, beliau berkata peningkatan positif itu juga didorong oleh strategi promosi yang diperhebatkan oleh kerajaan negeri Terengganu melalui penganjuran beberapa program berskala besar sejak akhir-akhir ini.

 

"Antaranya penganjuran Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia, Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia dan yang terbaru ialah Himpunan RXZ Member 4.0 di Litar Permotoran Terengganu," katanya.


 

taman monumen
Replika Masjid Al Aqsa sentiasa menjadi tumpuan pengunjung Taman Monumen di Taman Tamadun Islam, Terengganu

 taman monumen

 


Selain Taman Monumen, turut menjadi tumpuan pelancong di TTI ialah Masjid Kristal, pakej menyelusuri Sungai Terengganu (TTI River Cruise), restoran B’Beteng, perkhidmatan feri ke Pulau Redang, pakej inap desa villa, dewan konvensyen serta ruang niaga komersial yang disewa usahawan tempatan.

 

Ketika ini, tiket yang dikenakan untuk masuk ke Taman Monumen ialah RM20 untuk dewasa dan RM16 bagi kanak-kanak dan warga emas.

 

Mengulas lanjut, beliau berkata pendapatan tertinggi TTI Management Sdn Bhd ketika ini diperoleh melalui TTI River Cruise, sewaan dewan konvensyen yang mampu memuatkan seramai 2,000 orang dalam satu-satu masa serta Taman Monumen.

 

Dibina pada tahun 2006, Taman Tamadun Islam menjanjikan pengalaman menarik mengembara secara interaktif dengan mengenali sejarah keagungan Islam di seluruh dunia melalui 23 monumen terkenal seperti Kota Alhambra di Sepanyol, Masjid Qairawan di Tunisia, Masjid Sultan Suleyman di Turki, Taj Mahal di India dan Masjid Xi’an di China.


 

taman monumen
Pakej menyelusuri Sungai Terengganu melalui TTI River Cruise antara yang mendapat sambutan di Taman Tamadun Islam.


 

taman monumen
Terletak bersebelahan Sungai Terengganu, restoran B'Beteng menawarkan pelbagai menu masakan antarabangsa untuk pengunjung Taman Tamadun Islam.

 

taman monumen
Antara penginapan inap desa yang disediakan untuk pelancong bermalam di Taman Tamadun Islam.

 


Selain itu, terdapat replika Kubah As Sakhrah di Palestin, Masjidil Haram dan Masjid Nabawi di Arab Saudi, Masjid Kudus Minar di Indonesia, Masjid Sultan Omar ‘Ali Saifuddin di Brunei dan Masjid Sultan Singapura yang kesemuanya dibina pada nisbah skala 1:4 hingga 1:22 berbanding saiz asal.

 

Taman seluas 23 hektar itu adalah sebahagian daripada projek kerajaan untuk membangunkan Kuala Terengganu sebagai bandar raya warisan pesisir air untuk melonjakkan industri pelancongan negeri. - DagangNews.com