Tambah kepentingan dalam BOL, pertumbuhan pendapatan CTOS diyakini  | DagangNews Skip to main content

Tambah kepentingan dalam BOL, pertumbuhan pendapatan CTOS diyakini 

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 9 Ogos - CTOS Digital Bhd. berada dalam kedudukan terbaik dari segi pertumbuhan pendapatan apabila meningkatkan kepentingannya dalam Business Online Public Company Limited (BOL).

 

Ia juga mencerminkan perancangan kumpulan untuk memanfaatkan sektor pertumbuhan tinggi, menurut penganalisis Kenanga Investment Research, Adrian Kok Xi Feng. 

 

"Pengambilalihan ini dilihat sebagai sesuatu yang mengejutkan tetapi positif memandangkan CTOS baru sahaja memperoleh 4.625% kepentingan dalam RAM Holdings pada 29 Julai lalu.

 

"Langkah ini yang dilaksanakan lebih cepat dari jangkaan, ditambah pula dengan rancangan untuk memanfaatkan sektor baharu dengan potensi pertumbuhan luar biasa seperti automotif, insurans dan hartanah, secara tidak langsung meningkatkan keyakinan kami terhadap pertumbuhan pendapatan CTOS pada tahun akan datang," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Jumaat lalu, CTOS mengumumkan untuk mengambil alih 21.74 juta saham dalam BOL melalui pemindahan perniagaan langsung di bursa saham Thailand.

 

Pengambilalihan itu mewakili 2.65% kepentingan dalam BOL untuk bayaran pembelian sebanyak THB208.7 juta atau bersamaan dengan RM26.8 juta. Sebelum ini, CTOS memiliki 20% kepentingan dalam BOL.

 

BOL adalah biro maklumat syarikat yang terbesar di Thailand, dengan bahagian pasaran sebanyak 59% dari segi pendapatan untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020.

 

Langkah itu akan dibiayai sepenuhnya oleh hasil daripada tawaran awam permulaan (IPO) pada 19 Julai lalu. 

 

Xi Feng berkata, daripada IPO sebanyak RM58.7 juta yang diperuntukkan untuk langkah pengambilalihan, kumpulan telah menggunakan sebanyak RM36.9 juta atau kira-kira 63% untuk memperoleh kepentingan dalam RAM dan BOL dan tempoh kurang daripada sebulan selepas disenaraikan. 

 

"Selepas pengambilalihan itu, baki tunai CTOS dianggarkan kira-kira RM35 juta dengan RM21.8 juta daripada IPO diperuntukkan untuk pelaburan strategik," katanya. 

 

Kenanga Research mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran yang tinggi pada RM1.75 berbanding RM1.40 sebelum ini. 

 

Firma itu yakin peningkatan kepentingan dalam BOL membolehkan CTOS meneroka pasaran yang kurang diberi tumpuan di Thailand (kira-kira 57% kadar penembusan berbanding Amerika Syarikat dan United Kingdom sebanyak 100%). 

 

Setakat 11.11 pagi ini, saham CTOS susut 1 sen kepada RM1.55 dengan 898,900 saham diniagakan. - DagangNews.com