Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 19 Jan. - Tanggal 18 Januari 2021 boleh disemat dalam satu lagi lipatan sejarah ekonomi negara.
Tarikh tersebut dipilih kerajaan untuk mengumumkan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) dalam memastikan kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi.
Pakej yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu memperuntukkan nilai berjumlah RM15 bilion untuk menambah baik inisiatif sedia ada yang masih berterusan selain mempercepatkan pelaksanaan inisiatif yang berkaitan.
Pakej tersebut sememangnya menjadi keperluan semua pihak pada saat negara dilanda gelombang ketiga wabak COVID-19 sejak Oktober lalu, hingga memaksa kerajaan melaksanakan PKP 2.0 yang menggegarkan enjin ekonomi negara.
Pelaksanaan PKP 2.0 di tujuh negeri dan beberapa daerah dilihat memberi kesan kepada penguncupan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 0.8% pada 2021, sekali gus melambatkan pertumbuhan ekonomi negara.
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, Permai juga adalah penyambungan kepada program-program tahun lalu dan turut memperhalusi Belanjawan 2021 berdasarkan situasi ekonomi terkini.
Bagaimanapun, peruntukan yang diletakkan dalam Permai diharap lebih besar berbanding RM15 bilion yang diumumkan semalam.
Jelasnya, hal ini kerana kerajaan masih mempunyai kapasiti untuk meminjam wang bagi menjana ekonomi dan kesejahteraan rakyat serta perniagaan PKS.
"Hutang negara menurut Bank Dunia masih mempunyai nisbah hutang kepada KDNK di bawah 70%, kerana anggaran RM322.5 bilion dari Belanjawan 2021 yang baru-baru ini diluluskan, nisbah hutang adalah sekitar 65% seperti yang dipersetujui oleh Parlimen.
"Tambahan RM15 bilion adalah jumlah yang mampu diberi oleh kerajaan pada masa ini dan tidak akan mempunyai kesan yang serius.
"Kita harus memahami bahawa kesejahteraan rakyat tiada duanya di mata pemerintah, oleh itu meminjam untuk membantu rakyat dan memacu ekonomi adalah yang terbaik," jelasnya ketika dihubungi DagangNews.com hari ini.
Langkah berkenaan turut dijalankan oleh negara-negara sandaran lain yang menggunakan dasar fiskal dan memberi sokongan kebajikan kepada warganegara mereka hingga mencapai kemampuan kewangan masing-masing.
Apabila keadaan ekonomi kembali pulih, kerajaan boleh menyesuaikan semula dasar fiskal dan juga dasar monetari masing-masing.
Ditanya sama ada fiskal negara akan terus terkawal atau sebaliknya jika peruntukan tersebut ditingkatkan, beliau memberitahu, kerajaan sememangnya mungkin terlalu berhati-hati bagi mengelakkan defisit fiskal yang besar kepada negara.
"Perkara ini mungkin akan menekan perbendaharaan negara hingga perlu meminjam dari luar negara, ini kita perlu elakkan.
"Buat masa ini hutang kerajaan adalah dari sumber dalaman negara dan ini tidaklah menjejaskan kekuatan matawang negara berbanding negara-negara lain.
"Sumber kecairan tunai juga turut berada di dalam situasi yang terbaik dengan dasar monetari BNM yang merendahkan kadar faedah dan mengurangkan SSR (Keperluan Rizab Berkanun) bank-bank tempatan," tambah beliau.
Kesimpulannya, dalam meletakkan harapan kepada kerajaan untuk memberi peruntukan Permai yang lebih tinggi berbanding RM15 bilion, kita semua perlu sedar dan ingat bahawa jumlah tersebut adalah tambahan kepada Belanjawan 2021 yang berjumlah RM322.5 bilion.
Jelas beliau, sekiranya ditambah, jumlah yang dicatatkan adalah sebanyak RM337.5 bilion.
"Kita perlu ingat bahawa tahun 2020, sebanyak RM350 bilion telah disuntik ke dalam ekonomi negara secara berperingkat oleh kerajaan untuk menyelamatkan ekonomi. Dana tersebut adalah satu dana tambahan dan diluar Belanjawan negara pada tahun 2019.
"Keseluruhannya negara menghadapi situasi yang tidak pernah dilalui sebelum ini, jumlah yang besar telah diberi secara berterusan dan kesan pada ekonomi negara cukup mengesankan.
"Dengan kerugian RM2.4 bilion sehari dalam PKP, kedalaman lubang fiskal negara belum diketahui, itu yang menakutkan kita," ujar beliau lagi.
Evolusi virus COVID-19 yang belum mampu ditangani oleh mana-mana negara maju turut menambah kebimbangan terhadap impak COVID-19 yang masih belum diketahui sepenuhnya,. - DagangNews.com