Tambahan bekalan vaksin Sinovac, lonjak harga saham Pharmaniaga | DagangNews Skip to main content

Tambahan bekalan vaksin Sinovac, lonjak harga saham Pharmaniaga

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Tambahan bekalan 6 juta dos vaksin Sinovac kepada kerajaan dijangka memberi impak positif kepada pendapatan Pharmaniaga Bhd. bagi tahun kewangan 2021. 

 

Pharmaniaga memperoleh kontrak itu menerusi anak syarikat milik penuhnya, Pharmaniaga Lifescience Sdn Bhd (PLS).

 

Ia juga menyaksikan harga saham Pharmaniaga diniagakan positif sepanjang dagangan pagi. Setakat 10.20 pagi ini, saham Pharmaniaga menokok 0.05 sen kepada 91.5 sen dengan 9.66 juta saham bertukar tangan.

 

MIDF Research berkata, berdasarkan harga pembelian semasa vaksin Sinovac dari Indonesia, ia menganggarkan tambahan vaksin yang dikeluarkan secara fill-finish itu oleh PLS akan menambah kira-kira RM300 juta pendapatan kumpulan pada masa depan.

 

"Kami mengembalikan semula pandangan terhadap prospek separuh kedua dengan menjangkakan prestasi lebih baik bagi tahun ini. 

 

"Prospek ini didorong pembekalan vaksin Sinovac secara berterusan kepada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dan jualan vaksin kepada sektor swasta, syarikat milik kerajaan (GLC) dan kerajaan negeri pada masa akan datang, sekali gus menyumbang kepada kadar vaksinasi secara meluas dan mendorong pemulihan sosio ekonomi," katanya dalam nota kajian hari ini.   

 

Semalam, Pharmaniaga memaklumkan menerima pemeteraian Surat Setuju Terima (Tambahan) bagi perolehan pembekalan vaksin COVID-19 pada 11 Ogos 2021 dengan kerajaan yang diwakili oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tambahan dos vaksin itu.

 

Dengan surat setuju terima tambahan itu, ia menjadi platform kepadanya untuk membantu negara membekalkan vaksin.

 

Pembekalan vaksin tambahan sebanyak 6 juta dos itu merangkumi vaksin yang dibotolkan oleh PLS dan vaksin yang dikeluarkan dan dibotolkan oleh Sinovac di China.

 

Sebelum ini, Pharmaniaga berkata, ia berjaya membekalkan sejumlah 12 juta dos vaksin dengan kumpulan dos terakhir dihantar pada 21 Julai 2021, iaitu 4.5 bulan lebih awal daripada jadual kontrak.

 

MIDF Research berpendapat, tambahan bekalan ini akan meningkatkan kadar vaksinasi di bawah Sinovac daripada 18% kepada 28%. 

 

"Ia juga membuktikan vaksin ini terus mendapat permintaan dan diterima sebagai salah satu jenama yang efektif untuk mengurangkan jangkitan wabak COVID-19, serta mengurangkan pesakit di ICU," katanya. 

 

Firma itu menyemak semula penarafan Pharmaniaga kepada saranan 'trading buy' berbanding neutral sebelum ini dengan unjuran pulangan sekitar 11.3%. Harga sasaran juga disemak semula kepada 98 sen. - DagangNews.com