Tan Lay Han dilantik CEO, Pengarah Eksekutif TGV Cinemas | DagangNews Skip to main content

Tan Lay Han dilantik CEO, Pengarah Eksekutif TGV Cinemas


KUALA LUMPUR 7 Sept – TGV Cinemas mengumumkan pelantikan Tan Lay Han sebagai Pengarah Eksekutif dan CEO syarikat pawagam itu, berkuatkuasa 17 Sept 2021.

 

Menurut TGV dalam satu kenyataan, Lay Han merupakan veteran di dalam industri tersebut dan pertama kali menyertai Tanjong Plc pada 1994 di mana beliau terlibat dalam proses pembangunan konsep TGV Cinemas dan menjadi Pengurus Besar ketika di peringkat syarikat baharu ditubuhkan.

 

Beliau kemudian menyertai industri telekomunikasi iaitu Maxis pada 1999 dan merupakan Ketua Pegawai Jualan dan Perkhidmatan Maxis sebelum menyertai TGV Cinemas semula.

 

Pengerusi TGV, Rezza Hassan berkata, Lay Han membawa bersamanya pengalaman besar dari segi kefahaman, jangkaan dan maklum balas terhadap kehendak pengguna yang sentiasa berubah, yang merupakan keperluan besar bagi pawagam ketika industri kembali beroperasi selepas era-COVID ini.

 

''Lembaga Pengarah sememangnya teruja dengan pelantikan beliau. Kami yakin penuh terhadap keupayaan Lay Han untuk menerajui TGV, kerana beliau memiliki kefahaman dalam perniagaan ini dan pengetahuan mengenai dinamik pengguna,'' kata beliau.

 

Sementara itu, Lay Han berkata, beliau bersemangat dengan peluang yang diberi untuk memimpin perniagaan TGV yang telah berjaya membawa yang terbaik di dalam hiburan pawagam kepada rakyat Malaysia.

 

tan lay han
Tan Lay Han

 

''Bersama dengan pasukan TGV, kami adalah komited untuk membawakan inovasi di dalam pengalaman perkhidmatan yang menyeronokkan dan konsep baharu kepada rakyat Malaysia,'' ujar beliau. – DagangNews.com