Tanah Mendap: Selamatkah KL? [Pandangan Pakar] | DagangNews Skip to main content

Tanah Mendap: Selamatkah KL? [Pandangan Pakar]

Seorang pelancong India terjerumus ke dalam lubang di Jalan India pada 23 Ogos 2024. - Gambar Astro Awani
Oleh PROF. MADYA P.GEOL. DR. MOHD HARIRI ARIFIN

Kuala Lumpur sebahagian besarnya didasari oleh batu kapur. Batu kapur merupakan batuan yang bersifat boleh larut lalu membentuk rerongga atau gegua.

 

Kawasan yang semakin melemah hanya menunggu masa untuk mendap dan menelan si mangsa.

 

Jika orang ramai terus membuat kesimpulan daripada cebisan maklumat di atas mungkin habis huru-hara segenap lapisan masyarakat. 

 

 

PROF. MADYA P.GEOL. DR. MOHD HARIRI ARIFIN
       DR. MOHD HARIRI ARIFIN

 

 

Faktor-faktor lain perlu diperhalusi untuk menjawab selamatkah Kuala Lumpur. Malah akan lebih teruk jika ramai pelabur lari meninggalkan ibu kota dek kerana ceteknya ilmu pengetahuan terutama ilmu geologi.

 

Kejadian lubang benam yang baru berlaku di Jalan Masjid India menjadi tular dan hangat di media massa. Mungkin ramai yang tertanya-tanya apakah puncanya?

 

 

Adakah batu kapur yang bersalah? Adakah peta geologi yang terperinci menunjukkan tempat berlaku kejadian tersebut terletak dalam Formasi Batu Kapur Kuala Lumpur?

 

Atau boleh jadi jenis batuan lain malah mungkin lokasi asal adalah paya yang ditambak dengan bahan kejuruteraan yang terisih teruk seperti bercampurnya pelbagai bahan atau sisa binaan, tanah, pokok-pokok mati atau tayar buruk sebelum tumbuhnya satu bandar yang penuh dengan binaan.

 

Ini memerlukan penelitian sejarah tempat tersebut dengan harapan pelbagai rekod wujud dan boleh dicapai termasuklah rekod lubang gerudi dan aliran air.

 

Boleh jadi juga sistem saliran atau paip air yang pecah menjadi pencetus kepada hakisan yang menjarah dari bawah permukaan tanpa disedari atau diendahkan oleh pengguna laluan tersebut.

 

Jika lantai pejalan kaki telah mendap dan menunjukkan tanda-tanda akan runtuh, adakah pihak bertanggungjawab telah melaksanakan tugas dengan baik?

 

 

jerlus
Rakaman CCTV menunjukkan detik-detik tanah jerlus di Jalan Masjid India pada 23 Ogos 2024. - Gambar Astro Awani

 

 

Memantau, mengawasi, membuat belanjawan peruntukkan jika sumber kewangan tidak cukup untuk membaiki pada masa terdekat dan pelbagai persoalan lain yang boleh ditanya bertubi-tubi.

 

Nasi telah menjadi bubur. Kes demi kes berlaku dan kita gagal mengambil pengajaran penting atas peristiwa itu.

 

Aktiviti manusia yang mungkin tidak cakna kepada kerosakan paip, binaan bawah tanah, tembok atau terowong serta tangki septik boleh memburukkan lagi keadaan.

 

Perubahan paras air bawah tanah boleh menyumbangkan kepada kadar hakisan butiran tanah dan pasir yang longgar. Ini bermakna ketika musim kemarau panjang, paras air bawah tanah akan turun dengan ketara dan apabila datang musim hujan paras air akan kembali naik.

 

Keadaan ini menyebabkan proses geologi di bawah permukaan tanah berubah iaitu pergerakan bahan bumi mengikut aliran air yang membawa bersama bahan longgar.

 

Jika batuan dasar adalah batu kapur yang beralun (topografi karst), boleh jadi mangsa tersangkut pada celah-celah mogot batu kapur di bawah tanah.

 

Runtuhan yang mendadak juga boleh tercetus apabila sesuatu tempat itu tidak mampu lagi menanggung beban di permukaan.

 

Dalam kes di Jalan Masjid India ini, mangsa yang kebetulan lalu di kawasan tersebut menjadi beban tambahan ke atas struktur binaan lantai pejalan kaki. Jika berat mangsa dianggar sekitar 100kg, adakah lapisan tersebut runtuh akibat tidak lagi mampu menanggung beban?

 

 

parafrasa

 

parafrasa

 

 

Adakah ini adil untuk menyalahkan mangsa yang sehingga artikel ini ditulis masih lagi gagal menemui ke mana menghilangnya jasad tersebut.

 

Apa yang boleh kita lakukan untuk mengesan jasad tersebut? Adakah air yang ada tidak mampu dipam sehingga kering? Adakah paras air kekal dan tidak berubah? Adakah wujud teknologi yang mampu mengesan kedudukan si mangsa?

 

Mungkin khidmat ahli geofizik dan jurutera bertauliah dalam bidang yang sesuai mampu melakukan sesuatu? Mampukah pegawai perancang bandar, pegawai bab saliran air dan segala jenis pegawai boleh duduk satu meja, membincangkan dan melaksanakan gerak kerja yang pantas dalam operasi menyelamat?

 

Adakah Kuala Lumpur sahaja yang harus diberi perhatian? Jika kita celik ilmu geologi, banyak lagi tempat yang didasari oleh batu kapur perlu diberi perhatian. Contohnya adalah di bandar raya Ipoh, Gua Musang dan juga negeri Perlis yang kaya dengan batuan tersebut.

 

Namun begitu, kupasan faktor-faktor penyumbang kepada lubang jerlus itu mestilah diperhalusi dan budaya membaca bahan ilmiah akan membantu masyarakat kita celik geologi dan sekaligus mengurangkan risiko terjerumus di dalam lubang ngeri itu.

 

 

mendap
Tanah mendap di Ampang pada tahun 2022. - Gambar Kosmo

 

 

Malah kita juga mungkin akan lebih cakna kepada isu-isu laluan pejalan kaki yang mendap dan mempunyai ciri untuk runtuh dengan mata yang tidak buta dan tidak jemu melaporkan kepada pihak berwajib.

 

Bersama kita dalam membendung kejadian sama berulang dan jangan tunggu sehingga terkena pada batang hidung kita sendiri untuk disesali. - DagangNews.com

 

 

PROF. MADYA P.GEOL. DR. MOHD HARIRI ARIFIN adalah PRESIDEN PERSATUAN GEOLOGI MALAYSIA 2024/2025 dan TIMBALAN DEKAN (HAL EHWAL JARINGAN INDUSTRI DAN MASYARAKAT) FAKULTI SAINS DAN TEKNOLOGI UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA