Tanpa LLA, FGV jimat RM1.5 bilion setahun | DagangNews Skip to main content

Tanpa LLA, FGV jimat RM1.5 bilion setahun

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
editor@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 24 Ogos - FGV Holdings Berhad mampu mengurangkan perbelanjaan kumpulan sehingga RM1.5 bilion setahun sekiranya Felda mengambil keputusan menamatkan perjanjian pajakan tanah (LLA) lebih awal.

Malah, ia juga akan menyaksikan aliran tunai yang lebih positif kepada kumpulan dalam tempoh jangka masa panjang. Bagaimanapun, penamatan LLA, hanya boleh diselesaikan dalam tempoh 18 bulan selepas notis dikeluarkan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif FGV, Datuk Haris Fadzilah Hassan, kumpulan masih mempunyai 80,000 hektar tanah ladang yang tidak terlibat di bawah LLA dan 68 kilang sawit. 

"Ini membolehkan kita beroperasi dengan aset yang lebih ringan kerana kita memiliki kilang ini dan juga buah tandan segar (BTS) boleh dihantar ke kilang tanpa  perlu menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan, baja, tanam semula dan membayar gaji pekerja ladang. 

"Di sini, FGV boleh memainkan peranan sebagai pengilang pihak ketiga dan kita boleh memberi fokus kepada kadar perahan minyak (OER) untuk memastikan kos kita lebih efisien," katanya dalam sidang akhbar prestasi kewangan syarikat bagi suku kedua 2020 hari ini. 
 

fgv
Haris Fadzilah Hassan (dua kiri) dan Ketua Pegawai Kewangannya, Datuk Mohd. Hairul Abdul Hamid (tiga kiri) pada sidang akhbar prestasi kewangan FGV untuk suku kedua 2020 di Wisma FGV, Kuala Lumpur hari ini.


Ketika ini perbincangan mengenai LLA masih lagi berjalan dengan pihak Felda. Di bawah perjanjian itu, FGV membelanjakan sebanyak RM300 juta setahun bagi tanam semula, RM250 hingga RM300 juta untuk pembajaan, RM270 juta untuk perumahan pekerja dan RM590 juta pula untuk kos bayaran gaji pekerja ladang.

FGV juga perlu membayar sebanyak RM248 juta sebagai pajakan tetap termasuk 15 peratus keuntungan operasi kepada Felda berikutan pajakan tanah seluas 355,000 hektar. 

Ditanya sama ada LLA adalah beban kepada kewangan FGV, beliau berkata, kumpulan hanya boleh merekodkan keuntungan yang pertama sekiranya melangsaikan bayaran pajakan tetap kepada Felda yang menjadikan FGV adalah berbeza berbanding syarikat perladangan lain.

"Malah, dalam perbincangan kami dengan penganalisis industri, mereka juga melihat LLA tidak memberi kelebihan kepada kami kerana tanah itu tidak dimiliki FGV dan sebarang peningkatan nilai terhadap tanah ini tidak memberi kesan kepada syarikat.

"Saya tidak melihat ini sebagai beban (walaupun diakui) kerana kita mempunyai pilihan untuk beroperasi dengan pengurusan yang lebih kecil dan berfokus yang mana ini adalah lebih baik kepada kumpulan," katanya. 

Bagi suku kedua tahun ini, FGV merekodkan keuntungan bersih berjumlah RM20.55 juta berbanding kerugian bersih RM52.2 juta yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu didorong peningkatan operasi perladangan minyak sawit kumpulan. 

Perolehan juga meningkat kepada RM3.29 bilion bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2020 berbanding RM3.28 bilion untuk tempoh sama tahun lalu. - DagangNews.com