Tanpa pelancaran model baharu, prospek Tan Chong Motor suram | DagangNews Skip to main content

Tanpa pelancaran model baharu, prospek Tan Chong Motor suram

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 25 Ogos - Tan Chong Motor Holdings Bhd. dijangka berdepan prospek lebih mencabar pada separuh kedua tahun ini terutama dengan prestasi kewangan separuh pertama yang kurang memberangsangkan. 

 

Kerugian bersihnya susut kepada RM22.21 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2021 berbanding RM79.36 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya manakala pendapatan berkembang 24.4% kepada RM638.03 juta berbanding RM512.89 juta tahun lalu. 

 

CGS-CIMB mengurangkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) bagi 2021 hingga 2023 yang mencerminkan margin rendah daripada gabungan jualan yang kurang baik dan jumlah jualan rendah.

 

Penganalisisnya, Mohd. Shanaz Noor Azam menjangkakan kumpulan terus akan berdepan kerugian bagi tahun kewangan 2021 menjadikan prospek separuh kedua dilihat suram.

 

Menurutnya, prospek pemulihan kumpulan semakin mencabar disebabkan kurangnya pelancaran model baharu pada separuh kedua ini.

 

"Selain itu, prospek operasi di luar negara juga lemah disebabkan penamatan pengedaran Nissan di Malaysia dan ketidaktentuan situasi politik di Myanmar," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'mengurangkan' bagi saham Tan Chong Motor dengan harga sasaran pada 99 sen.

 

Jelasnya, jumlah jualan di Malaysia dijangka meningkat secara berperingkat mulai Ogos apabila sekatan ekonomi semakin dilonggarkan, kadar vaksinasi meningkat dan pengecualian cukai jualan. 

 

"Namun, jualan daripada pasaran IndoChina diunjur lebih lemah disebabkan sekatan pergerakan yang masih berterusan bagi mengekang penularan wabak ini, tetapi dapat mengimbangi pemulihan bagi pasaran di Malaysia pada separuh kedua ini," tambahnya. 

 

Sementara itu, penganalisis Kenanga Research, Wan Mustaqim Wan Ab Aziz berkata, di sebalik pelancaran Nissan Almera serba baharu pada November lalu, keseluruhan jualan bagaimanapun masih kekal lemah.

 

"Dengan hanya satu model sahaja yang menjadi pemacu kepada kumpulan, ia masih tidak menentu ketika ini sama ada ia boleh menjadi pemangkin kepada Tan Chong Motor untuk kembali untung.

 

"Selain itu, sejauh mana ia mampu mengatasi kesan negatif daripada kilang Danang di Vietnam yang belum digunakan sepenuhnya dan juga berakhirnya perjanjian bagi model diimport sepenuhnya (CBU) dan kenderaan pemasangan tempatan (CKD) dengan prinsipal masing-masing pada 30 September 2020 dan 19 September 2020," katanya. 

 

Bagaimanapun, menurutnya, perjanjian pengedaran luar negara (ODA) dengan SAIC Motor International Co. Ltd. (SMIL) bagi jenama SUV, MG (CBU) dan terbaharu dengan SAIC GM Wuling Automobile bagi kenderaan trak pikap dan van cargo di Vietnam dapat menjadi penyelamat dalam tempoh 5 tahun akan datang.

 

Kenanga Research mengekalkan saranan 'underperform' ke atas Tan Chong Motor dengan harga sasaran tidak berubah pada RM1. 

 

"Kami melihat keputusan kewangan kumpulan adalah dalam jangkaan kami kerana ia diunjur lemah terutama dengan penutupan galeri jualan dan pengeluaran sehingga 16 Ogos 2021. 

 

"Selain itu, ia juga berdepan persaingan yang kompetitif daripada jenama lain yang baharu dilancarkan," katanya. - DagangNews.