Taraf saranan MyNews disemak naik kepada ‘beli’ selepas kembali catat untung bersih pada 4QFY23 – Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Taraf saranan MyNews disemak naik kepada ‘beli’ selepas kembali catat untung bersih pada 4QFY23 – Maybank IB

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 22 Dis - Maybank Investment Bank menaikkan taraf saranan MyNews Holding Berhad selepas syarikat itu kembali mencatat keuntungan bersih pada suku keempat tahun kewangan berakhir 31 Oktober 2023 (4QFY23).

 

Firma penyelidikan itu berkata pendapatan kumpulan berubah pada suku semasa dan penguncupan kerugian pusat pemprosesan makanan adalah menggalakkan.

 

Di samping itu, katanya, jangkaan untuk potensi penjimatan kos sebaik sahaja kedai CU pulang modal juga harus terus memacu pemulihan pendapatan pada FY24.

 

“Oleh itu, anggaran pendapatan FY24-25 dinaikkan sebanyak 32% hingga 83% dan kami memperkenalkan anggaran FY26.

 

“Dengan prospeknya yang semakin baik, kami menaikkan saranan MyNews kepada ‘beli’ daripada ‘pegang’ dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi sebanyak 62 sen daripada 54 sen nisbah harga kepada nilai buku (PBV) FY24 tidak berubah pada 1.7 kali,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Maybank IB berkata untung bersih kumpulan pada 4QFY23 berjumlah RM900,000 membawa kerugian bersih FY23 kepada RM11 juta, berbanding anggaran kerugian bersih FY23 firma dan konsensus masing-masing pada RM13 dan RM14 juta .

 

Ini terutamanya disebabkan oleh margin keuntungan kasar yang lebih tinggi daripada jangkaan, namun pendapatan kumpulan bagi FY23 sebanyak RM730 juta adalah selaras pada 103% daripada unjuran tahun penuh firma.

 

“Walaupun trend perbelanjaan pengguna kekal lemah, pendapatan kumpulan dijangka didorong oleh pengurangan kerugian pusat pemprosesan makanan dan jangkaan untuk kedai CU pulang modal dalam tempoh enam bulan akan datang.

 

“MyNews juga merancang untuk membuka lebih 100 kedai pada FY24 dengan sebahagian besar pembukaan kedai baharu berada di bawah jenama MyNewsnya,” tambahnya.

 

Setakat pukul 10:04 pagi ini, saham 0.5 sen atau 1% kepada 52 sen dengan permodalan pasaran sebanyak RM390 juta. - DagangNews.com