Taraf saranan Press Metal dinaikkan kepada ‘pegang’ dengan harga sasaran RM4.38 – HLIB | DagangNews Skip to main content

Taraf saranan Press Metal dinaikkan kepada ‘pegang’ dengan harga sasaran RM4.38 – HLIB

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 15 Jan - Hong Leong Investment Bank (HLIB) telah menaik taraf penarafan Press Metal Aluminium Holdings Bhd kepada ‘pegang’ daripada ‘jual’ dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi RM4.38 sesaham berbanding RM4.20 sebelumnya, berdasarkan gandaan harga kepada pendapatan (PE) sebanyak 22.5 kali.

 

Ini adalah berikutan firma penyelidikan itu meningkatkan unjuran pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan 2023, 2024 dan 2025 (FY23-25) masing-masing sebanyak 1.5%, 4.3% dan 3.9% selepas mengandaikan kos anod lebih rendah.

 

Namun, ia mengekalkan andaian lindung nilainya untuk FY23 (30% dilindung nilai pada AS$2,300), FY24 (30% pada AS$2,500) dan FY25 (20% pada AS$2,600), dengan andaian harga purata terkini yang sepadan.

 

Firma berkenaan menjangkakan pendapatan teras Press Metal bagi suku keempat tahun kewangan 2023 (4QFY23) antara RM305 juta dan RM325 juta, berdasarkan harga terkini aluminium London Metal Exchange (LME) pada AS$2,193 (RM10,197) setiap tan pada suku keempat 2023, berbanding AS$2,159 (RM10,039) setiap tan dalam suku ketiga 2023.

 

"Sementara itu, keuntungan bersih teras Press Metal bagi FY23 akan berjulat dari RM1.19 bilion hingga RM1.21 bilion (susut 16% hingga 15% tahun ke tahun), merangkumi 98% hingga 99% daripada ramalan FY23 kami," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Bagi 2024, HLIB berpendapat bahawa profil risiko dan ganjaran kumpulan itu telah menjadi seimbang memandangkan sektor solar fotovoltaik (PV) dan kenderaan elektrik (EV) semakin berkembang pesat terus menyokong permintaan untuk aluminium, mengimbangi sektor pembinaan dan hartanah yang kurang memberangsangkan.

 

Menurut firma berkenaan, industri pembinaan dan automotif China dijangka memacu pertumbuhan penggunaan aluminium sebanyak 2.8% tahun ini, disokong oleh dasar sektor hartanah, pertumbuhan kapasiti solar dan peningkatan jualan EV.

 

Firma itu percaya faktor ini akan mengurangkan separuh daripada lebihan pasaran China kepada 374,000 tan meskipun unjuran pertumbuhan keluaran 2% lebih perlahan pada 2024.

 

"Namun begitu, lebihan pasaran aluminium yang sederhana dijangka pada 2024 dan ini sepatutnya mengawal harga disebabkan pemangkin dari segi permintaan tidak mencukupi," tambahnya.

 

Saham Press Metal menokok 7 sen atau 1.5% kepada RM4.91 setakat pukul 2:48 petang ini, menilai permodalan pasarannya sebanyak RM40.5 bilion.  - DagangNews.com