TAS Offshore kembali catat untung bersih sebanyak RM4.5 juta pada 2QFY24 disokong peningkatan hasil sebanyak RM23.57 juta | DagangNews Skip to main content

TAS Offshore kembali catat untung bersih sebanyak RM4.5 juta pada 2QFY24 disokong peningkatan hasil sebanyak RM23.57 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Jan - TAS Offshore Berhad kembali mencatatkan untung bersih sebanyak RM4.5 juta pada suku kedua berakhir 30 November 2023 (2QFY24) berbanding rugi bersih RM339,000 bagi suku sama pada tahun sebelumnya.

 

Kumpulan mencatatkan hasil yang lebih tinggi sebanyak RM28.41 juta mewakili peningkatan sebanyak RM23.57 juta atau 488% lebih tinggi daripada suku sebelumnya.

 

"Keuntungan sebelum cukai bagi suku semasa berjumlah RM6.13 juta berbanding kerugian suku sebelumnya sebanyak RM50,000 mewakili peningkatan sebanyak RM6.17 juta berbanding suku sebelumnya.

 

"Keuntungan yang lebih tinggi bagi suku semasa disebabkan lebih banyak penghantaran kapal berjaya disempurnakan," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 November 2023 (6MFY24), kumpulan mencatatkan untung bersih sebanyak RM4.4 juta berbanding kerugian RM1.09 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Sementara itu, lembaga pengarah optimis terhadap prospek jangka panjang dengan kumpulan itu berada pada kedudukan yang baik untuk mendapat manfaat daripada pangkalan pelanggan yang kukuh di Indonesia.

 

Katanya, perkembangan positif industri perlombongan di Indonesia dijangka mendorong permintaan untuk lebih banyak bot tunda bagi menyokong pengangkutan bahan pukal antara pulau.

 

"Kementerian Tenaga dan Sumber Mineral Indonesia telah menaikkan sasaran pengeluaran arang batu untuk mencapai 710 juta tan pada 2024.

 

"Penggunaan domestik dijangka meningkat dengan ketara pada 2024 dan Jakarta telah menetapkan sasaran obligasi pasaran domestik (DMO) pada 220 juta tan, iaitu lebih tinggi secara mendadak daripada 173.6 juta tan pada 2023.

 

"Permintaan daripada bateri elektrik dijangka mencakupi satu pertiga daripada jumlah permintaan nikel menjelang 2030, terutamanya apabila negara-negara di seluruh dunia melihat untuk mengurangkan pelepasan karbon dan memenuhi sasaran pelepasan sifar bersih. - DagangNews.com