Tawaran awam permulaan Go Hub Capital terlebih langgan sebanyak 78.71 kali | DagangNews Skip to main content

Tawaran awam permulaan Go Hub Capital terlebih langgan sebanyak 78.71 kali

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Jun - Tawaran awam permulaan (IPO) Go Hub Capital Bhd untuk orang awam Malaysia telah terlebih langgan sebanyak 78.71 kali.

 

Kumpulan dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, sebanyak 20,452 permohonan diterima bagi mendapatkan 1.59 bilion saham terbitan bernilai RM557.94 juta daripada orang awam Malaysia.

 

Katanya, bahagian saham awam Bumiputera terlebih langgan sebanyak 64.65 kali, selepas sejumlah 10,835 permohonan untuk 656.49 juta saham terbitan diterima.

 

Bagi bahagian awam lain, sebanyak 9,617 permohonan untuk 937.61 juta saham baharu telah diterima, yang mewakili kadar lebihan langganan sebanyak 92.76 kali.

 

"Sementara itu, sejumlah 12 juta saham terbitan tersedia untuk permohonan oleh pengarah dan pekerja yang layak juga telah dilanggan sepenuhnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Go Hub dijangka kumpul modal RM37.51 juta daripada IPO Pasaran ACE Bursa Malaysia



Ejen penempatan mengesahkan 75.18 juta saham baharu menerusi penempatan persendirian kepada pelabur terpilih telah ditempatkan sepenuhnya.

 

Hasil daripada IPO akan diperuntukkan terutamanya kepada perluasan operasi perniagaan dan meningkatkan keupayaan operasi, membolehkan Go Hub meningkatkan keupayaan untuk memenuhi projek semasa dan memasuki pasaran baharu.
 

 

Di samping itu, Go Hub juga akan menggunakannya untuk pembangunan berterusan bagi penawaran rumusan inovatif, pemasaran dan tujuan umum korporat untuk meningkatkan kecekapan operasi.

 

UOB Kay Hian Securities (M) Sdn Bhd merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk IPO itu.- DagangNews.com