Tawaran PM Muhyiddin bertanggungjawab, tidak 'lepas tangan' demi rakyat - Syed Ali | DagangNews Skip to main content

Tawaran PM Muhyiddin bertanggungjawab, tidak 'lepas tangan' demi rakyat - Syed Ali

KUALA LUMPUR 14 Ogos - Tawaran rentas politik yang dibuat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah ikhlas, berani dan bertanggungjawab demi menyelamat dan membebaskan negara daripada krisis COVID-19.

 

Bekas Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee berkata, jika benar Perdana Menteri bermain politik, beliau sememangnya boleh menasihatkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk segera membubarkan Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan.

 

Ujarnya, ia juga selari seperti yang didesak blok pembangkang termasuk UMNO sendiri.

 

"Bagaimanapun, Muhyiddin tidak berbuat demikian kerana menyedari sekarang ini bukan waktu yang terbaik, ketika kerajaan sedang bertungkus lumus memerangi wabak COVID-19 yang telah melumpuhkan negara. Sebaliknya beliau memberi bayangan PRU15 akan diadakan Julai tahun depan.

 

"Begitu juga desakan supaya Muhyiddin segera meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri atas dakwaan hilang majoriti. Saya berpendapat beliau sendiri sudah mengambil maklum keadaan tersebut dengan mengemukakan cadangan diadakan usul percaya terhadapnya di Parlimen tidak lama lagi.

 

"Di sinilah saya melihat Muhyiddin mengambil tanggungjawab sebagai Perdana Menteri. Walhal beliau boleh bila-bila masa meletakkan jawatan dan 'lepas tangan' tetapi saya yakin beliau lebih memikirkan nasib rakyat dan negara di samping amanah yang beliau pikul," katanya dalam catatan terbaharu di laman Facebooknya pada Sabtu. - DagangNews.com