TDM bekal minyak sawit mentah kepada Ikhasas selama 36 bulan dengan bayaran pendahuluan RM70 juta | DagangNews Skip to main content

TDM bekal minyak sawit mentah kepada Ikhasas selama 36 bulan dengan bayaran pendahuluan RM70 juta

[Foto FB TDM Plantation]
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 22 Dis - Anak syarikat TDM Bhd, TDM Plantation Sdn Bhd (TDMP) memeterai perjanjian bekalan jangka sederhana untuk membekalkan minyak sawit mentah (MSM) dan MSM yang diperakui Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) kepada Ikhasas CPO Sdn Bhd selama 36 bulan.

 

TDM dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, Ikhasas akan membayar bayaran pendahuluan berjumlah RM70 juta untuk produk yang dibeli kepada TDMP pada awal tempoh pembekalan, tertakluk kepada potongan bagi penyediaan dana penjelas.

 

Ikhasas merupakan syarikat yang 75% dimiliki oleh Liquid Palm Sdn Bhd dan 25% oleh Y&L CPO Sdn Bhd.

 

"Nilai berkenaan dengan produk yang dihantar hendaklah ditolak daripada bayaran pendahuluan yang dibuat kepada TDMP. Sepanjang tempoh pembekalan, TDMP dikehendaki menghantar 900 tan MSM dan MSM diperakui RSPO (RSCPO) sebulan kepada Ikhasas," katanya.

 

Sejumlah RM30 juta daripada bayaran pendahuluan itu akan digunakan bagi perbelanjaan modal perniagaan perladangan berkelompok, manakala baki RM40 juta akan dipakai sebagai modal pusingan.

 

Harga produk itu adalah berdasarkan harga purata MSM untuk wilayah Semenanjung Malaysia seperti yang diterbitkan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

 

TDM berkata transaksi tersebut akan membolehkannya memperoleh sebahagian daripada penempatan MSM atau RSCPO masa depannya termasuk mengumpul dana untuk membiayai perbelanjaan modal perladangan syarikat serta modal kerja, yang dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan Kumpulan TDM.

 

"Syarikat tidak menjangka sebarang risiko material yang timbul daripada urus niaga yang akan menjejaskan prestasi TDM dan kumpulan secara material kerana kuantiti bulanan yang ditetapkan mewakili kira-kira 20% daripada purata pengeluaran MSM bulanan TDM," jelasnya. - DagangNews.com