Tealive akan 'dihidangkan' Foodpanda dalam permainan LifeAfter | DagangNews Skip to main content

Tealive akan 'dihidangkan' Foodpanda dalam permainan LifeAfter

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 9 Nov - Jenama minuman Tealive akan dihidangkan dalam permainan video LifeAfter, pemainan global bertemakan hari pasca kehancuran bagi memberikan kekuatan serta memberi keupayaan istimewa kepada mereka, bermula Khamis ini. 

 

Menerusi kerjasama itu, minuman berasaskan boba dan kombo makanan baharu Mix-Eats akan dihantar oleh Foodpanda dalam permainan video.

 

Jalinan kerjasama itu juga, menawarkan ganjaran kepada peminat permainan LifeAfter melalui penawaran kod promosi istimewa di kedai Tealive secara eksklusif melalui platform Foodpanda.

 

Foodpanda, selaku watak istimewa bukan pemain (NPC), akan mengenakan pakaian seragam ikonik merah jambu dan kotak penghantaran yang mengandungi produk Tealive kepada pemain bagi mereka meneruskan kehidupan dalam permainan itu.

 

"Kerjasama ini merupakan kesinambungan melangkah ke dunia permainan dalam talian selain memberikan perkhidmatan kepada pemain LifeAfter secara dalam talian serta dunia sebenar,"  kata Ketua Pegawai Eksekutif Loob Holding, Bryan Loo dalam satu kenyataan hari ini.

 

makanan

Bryan berkata, foodpanda bukan sahaja akan menghantar minuman Tealive dan Mix-Eats di dalam permainan digital sahaja tetapi akan berada di pasaran sebenar kepada pelanggan Tealive bermula Khamis ini hingga 31 Disember ini.

 

Tealive Mix-Eats yang merupakan tawaran waktu terhad ini, merupakan gabungan set ayam popcorn berserta kentang goreng atau gulungan ayam serta kentang goreng yang dihidangkan dengan dua pilihan sos, iaitu sos keju atau sos pedas Korea. 

 

Setiap kombo Tealive X LifeAfter mengandungi 1 set Mix-Eats dilengkapi dengan minuman Tealive terpilih.

 

Sebagai tambahan kepada penawaran istimewa ini, pemain hanya ke https://www.lifeafter.game/tealive_foodpanda/ menggunakan akaun Facebook untuk bermain dan memenangi kod hadiah LifeAfter dan baucar Tealive x Foodpanda.-DagangNews.com