Techna-X peroleh 51% kepentingan dalam Netsec gabung kepakaran ekosistem digital di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Techna-X peroleh 51% kepentingan dalam Netsec gabung kepakaran ekosistem digital di Malaysia

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 17 Jan - Techna-X Bhd memperoleh 51% kepentingan dalam Netsec Sdn Bhd sebagai usaha merevolusikan landskap keselamatan siber di Malaysia. 

 

Techna-X dan Netsec berkata, kerjasama strategik itu menyaksikan kedua-duanya menggabungkan kepakaran mereka dalam ekosistem digital dan storan tenaga dengan kepakaran Netsec dalam rumusan keselamatan siber.

 

Katanya, landskap keselamatan siber di Asia Tenggara membentangkan pasaran yang dinamik dan pesat berkembang, dengan anggaran nilai yang diunjurkan mencecah AS$4.49 bilion menjelang 2024.

 

"Pertumbuhan ini didorong peningkatan pendigitalan, lonjakan dalam ancaman siber dan kesedaran yang semakin meningkat tentang kepentingan keselamatan siber merentas pelbagai sektor. 

 

"Ekosistem digital rantau ini yang pelbagai dan berkembang, ditambah dengan cabaran uniknya, menawarkan peluang besar untuk inovasi dan pembangunan dalam rumusan keselamatan siber. 

 

"Usaha sama kami secara strategik memanfaatkan pertumbuhan ini, menetapkan piawaian baharu dalam keselamatan siber dan integrasi teknologi kecerdasan buatan (AI) serta memajukan rumusan teknologi keselamatan siber yang dibangunkan di Malaysia dan mengukuhkan kedudukan negara sebagai peneraju dalam bidang kritikal ini," katanya dalam kenyataan bersama di sini, hari ini.

 

Pengerusi Eksekutif Techna-X, Tunku Naquiyuddin ibni Tuanku Ja'afar berkata, memandangkan pihaknya menghampiri penyiapan latihan korporat pelbagai, yang akan menyaksikan permodalan semula Techna-X dan diperkukuh, mereka berada pada kedudukan baik untuk memulakan usaha sama dengan Netsec.

 

 

technax
Tunku Naquiyuddin ibni Tuanku Ja'afar

 

 

"Kerjasama ini bukan sahaja tepat pada masanya tetapi penjajaran strategik kepakaran digital kami dengan profesional keselamatan siber yang berpengalaman. Kami yakin kerjasama ini akan menandakan kejayaan baharu era inovasi dan kepimpinan dalam teknologi, memperkasakan lagi Malaysia dan rantau ini dalam domain digital keselamatan siber," katanya.

 

Pengarah Urusan Netsec, Azman M Azizi pula berkata, dengan kepakaran unik dan produk inovatif pihaknya, usaha sama dengan Techna-X memberikan peluang strategik untuk memanfaatkan pasaran keselamatan siber yang sedang berkembang. 

 

"Kerjasama kami dengan Techna-X adalah langkah penting dalam mencapai pasaran lebih luas dan memanfaatkan kepakaran digital dan kehadiran pasaran mereka. Usaha sama ini lebih daripada perkongsian, ia merupakan gabungan kekuatan meletakkan kami untuk memberi impak  besar dalam dunia keselamatan siber yang dinamik," katanya.

 

Usaha sama ini mendapat manfaat daripada bimbingan strategik penasihat yang dihormati, termasuk Prof Madya Kol (B) Datuk Dr Husin Jazri, seorang veteran keselamatan siber yang mengasaskan CyberSecurity Malaysia dan memulakan pelbagai inisiatif keselamatan negara sejak tiga dekad yang lalu.

 

Selain itu, bekas pengarah strategik di Jabatan Penyelidikan Pejabat Perdana Menteri, Datuk Dr Md Yusop Omar dan seorang tokoh berpengaruh dalam agensi penguatkuasaan perisikan antarabangsa serta domestik, membawa pengalaman berharga kepada kerjasama itu. - DagangNews.com