Tee Eng Ho dijangka tarik lebih banyak kontrak RPT untuk Kerjaya Prospek | DagangNews Skip to main content

Tee Eng Ho dijangka tarik lebih banyak kontrak RPT untuk Kerjaya Prospek

Tee Eng Ho
 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 2 Ogos - Dalam masa terdekat ini, Kenanga Research tidak menolak kemungkinan Kerjaya Prospek Group Berhad bakal meraih lebih banyak projek melibatkan urus niaga pihak berkaitan (RPT). 

 

Ini terutamanya diraih menerusi dua syarikat tersenarai milik Pengerusi Bukan Eksekutif Kerjaya, Datuk Tee Eng Ho iaitu Eastern & Oriental Berhad (E&O) dan Kerjaya Prospek Property Berhad (KPPROP) berbanding perolehan projek daripada pihak luar, menurut penganalisis di Kenanga, Lum Joe Shen. 

 

“Kami melihat ini positif berdasarkan keupayaan Datuk Tee untuk memacu jualan hartanah sehingga menurunkan risiko penerimaan rakan niaga terutamanya pada masa-masa yang tidak menentu ini.

 

“Berdasarkan andaian kami, kami menjangkakan kira-kira RM2.6 bilion penambahan semula pembinaan oleh E&O dan KPPROP dalam tempoh tiga tahun akan datang,” jelas Joe Shen dalam satu nota kajian. 

 

Kerjaya telah memenangi projek bernilai RM139 juta dari Damansara Peak untuk membina 54 unit vila di Damansara Heights, Kuala Lumpur. 

 

Sebagai rekod, Damansara Peak merupakan syarikat usaha sama antara E&O dan Mitsui Fudosan Co., Ltd. dengan pemegangan kepentingan masing-masing pada kadar 51% dan 49%. 

 

Perolehan kontrak itu termasuk dalam sasaran penambahan semula nilai projek Kenanga bagi tahun kewangan 2021 (FY21) berjumlah RM1.2 bilion sekali gus meningkatkan pesanan buku kepada RM3.4 bilion. 

 

Pembinaan projek itu yang dikenali sebagai The Peak dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM348 juta akan berlangsung selama 36 bulan bermula September 2021. 

 

Menurut Joe Shen lagi, ini merupakan penambahan semula kontrak keempat oleh Kerjaya setakat ini, di mana tiga daripadanya merupakan RPT. 

 

“Kekal ‘outperform’ (ke atas saham Kerjaya) dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada kadar RM1.50, berdasarkan nisbah harga kepada perolehan (PER) sebanyak 11x. 

 

“Kami percaya Kerjaya merupakan proksi baik untuk saham yang pulih selepas pembukaan semula ekonomi berdasarkan penyampaian perolehan kumpulan yang boleh dipercayai,” ujar Joe Shen lanjut. - DagangNews.com