Tekanan kewangan penduduk Asia termasuk Malaysia meningkat disebabkan kadar inflasi tinggi - Principal Financial | DagangNews Skip to main content

Tekanan kewangan penduduk Asia termasuk Malaysia meningkat disebabkan kadar inflasi tinggi - Principal Financial

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 22 Jun - Sebanyak 40% responden di Singapura, Hong Kong dan Malaysia tidak yakin dengan keupayaan mereka menguruskan kewangan tanpa bantuan kewangan tambahan ekoran peningkatan inflasi dan pemberhentian bantuan kewangan berkaitan pandemik daripada pihak kerajaan dan majikan.

 

Menurut kaji selidik baharu yang dijalankan oleh Principal Financial Group, pihaknya menjalankan kaji selidik terhadap 1,500 responden dari ketiga-tiga negara terbabit sebagai pengenalan kepada siri kedua kaji selidik tahunan Indeks Keterangkuman Kewangan Dunia yang dijangka akan dikeluarkan pada September ini.

 

Kaji selidik tersebut mendapati situasi makro ekonomi telah mula memberi kesan terhadap keupayaan orang ramai untuk menyimpan wang persaraan dan membuat perancangan masa depan kewangan mereka.

 

Presiden Principal Asia, Thomas Cheong berkata, penduduk di Hong Kong, Malaysia dan Singapura merasakan semakin sukar untuk mengimbangi keperluan harian dengan perancangan masa depan mereka. 

 

"Selain daripada inflasi yang tinggi dan kadar faedah kian meningkat, faktor makro ekonomi dan sosioekonomi memberi impak lebih besar terhadap kestabilan kewangan mereka daripada sebelum pra-pandemik COVID-19. 

 

"Justeru itu, kami di Principal menumpukan usaha dalam membantu pelanggan, bukan hanya melalui produk dan perkhidmatan kami, tetapi juga melalui usaha sama filantropi," katanya dalam kenyataan media di sini.


 

Thomas Cheong, President of Principal SEA
              Thomas Cheong

 


Sejak dua tahun lalu, lebih daripada separuh (51%) responden di semua pasaran Asia yang dikaji menyatakan simpanan mereka semakin berkurangan manakala, 43% pula dibelenggu hutang yang semakin meningkat, menjadikan mereka sukar untuk memenuhi perbelanjaan seharian. 

 

Sebanyak 34% responden pula menyatakan kadar kos sara hidup harian menyukarkan mereka untuk membayar bil seperti pinjaman rumah, elektrik, insurans, dan perbelanjaan petrol kereta berbanding dua tahun lalu. 

 

Peratusan yang sama juga menyatakan adalah sukar bagi mereka untuk membayar perbelanjaan yang tidak dijangka tanpa meminjam wang dan meminta bantuan dari rakan dan keluarga.

 

Menghadapi cabaran kewangan masa kini, makin ramai yang berasa sukar untuk mengimbangi tekanan kewangan masa kini dengan perancangan masa depan, tabung kecemasan serta simpanan persaraan. 

 

Di semua pasaran, 43% responden bersetuju bahawa menabung untuk persaraan kini lebih mencabar. Manakala 40% responden menghadapi kesukaran menetapkan pelan kewangan untuk persaraan dan merancang matlamat kewangan jangka panjang. 

 

Setengah daripada responden (50%) juga merasakan ahli keluarga lebih bergantung kepada mereka dari segi kewangan berbanding dua tahun lalu.  - DagangNews.com