Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 24 Nov - Ketidaktentuan mengenai kesan pelaksanaan cukai gula ke atas minuman pracampuran seperti diumumkan dalam Bajet 2022 dijangka terus mempengaruhi prospek Power Root Bhd.
Di bawah Bajet 2022, kerajaan bercadang meluaskan pelaksanaan duti eksais ke atas produk minuman bergula dalam bentuk pracampuran berasaskan coklat atau koko, malt, kopi dan teh.
Berkuat kuasa 1 April 2022, duti eksais 47 sen/100 gram akan dikenakan kepada produk minuman pracampuran yang mengandungi kandungan gula melebihi had 33.3 gram/100 gram.
Bagaimanapun, penganalisis Kenanga Research, Ahmad Ramzani Ramli berkata, Power Root dijangka tidak akan melepaskan kos tambahan antaranya disebabkan cukai gula kepada pengguna memandangkan ia mahu mengekalkan jumlah jualan pada tahap sebelum pandemik.
Tetapi, katanya, margin akan terus berdepan cabaran dengan mengambil kira ketidaktentuan harga gula dan kos operasi yang lebih tinggi daripada peruntukan pengiklanan dan promosi yang lebih tinggi kerana kumpulan mahu meningkatkan permintaan produk menerusi unit simpanan stok (SKU) lama dan baharu.
"Kami optimis dan berhati-hati terhadap penurunan harga gula menjelang akhir tahun ini berikutan permintaan berkurangan, cuaca yang lebih baik dan ringgit yang menggalakkan, tetapi masih konservatif terhadap margin yang kekal pada paras ini sekurang-kurangnya bagi tahun kewangan 2022 (FY22).
"Namun, kami percaya, pendapatan atau jualan kasar kumpulan akan mencapai anggaran awal kami sebelum ini sekitar RM330 hingga RM340 juta apabila sekatan pergerakan dilonggarkan dalam pasaran domestik," katanya dalam nota kajian hari ini.
Baca : Untung bersih Q2 Power Root susut 33.7%, kekal berhati-hati dengan prospek FY22
Dalam laporan kewangan suku kedua berakhir 30 September 2021 yang diumumkan semalam, untung bersih Power Root susut 33.7% kepada RM5.6 juta berbanding RM8.45 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Pendapatan bagi tempoh itu bagaimanapun meningkat kepada RM80.83 juta daripada RM79.68 juta, terutamanya didorong pendapatan dalam pasaran tempatan yang lebih tinggi pada suku berkenaan.
Untuk tempoh kumulatif 6 bulan berakhir 30 September 2021, untung bersih kumpulan merosot 60.3% kepada RM7.61 juta daripada RM19.19 juta bagi tempoh sama tahun lalu manakala pendapatan juga susut kepada RM155.5 juta berbanding RM163.6 juta.
Ahmad Ramzani berkata, permintaan lemah daripada pasaran Asia Barat akan menjejaskan pasaran eksport disebabkan kuasa pembeli yang rendah, cukai gula dan tukaran mata wang asing kurang menguntungkan, yang mungkin menyaksikan ia sukar mencapai paras sebelum pandemik dalam jangka masa pendek.
Jelasnya, margin bagi pasaran Asia Barat/Afrika Utara (MENA) juga masih mencabar kerana Power Root tidak mungkin melepaskan kenaikan barang akibat cukai gula kepada pengguna bagi mengelakkan permintaan berkurangan.
"Tetapi, sebarang hakisan margin dijangka dapat diimbangi dengan menawarkan penyelesaian alternatif seperti lebih banyak produk bebas gula atau harga lebih murah berbanding produk arus perdana yang mungkin akan ditawarkan tidak lama lagi," tambahnya.
Firma itu bagaimanapun menyemak turun unjuran pendapatan bagi FY22 dan FY23 masing-masing sebanyak 32% dan 30% kepada RM18 juta dan RM31 juta berikutan margin akan mencabar disebabkan kos perbelanjaan iklan (opex) yang tinggi dan kenaikan harga input.
Sebaliknya, Kenanga Research menyemak naik penarafan saham Power Root kepada 'market perform' daripada dengan harga sasaran juga dinaikkan kepada RM1.35 daripada RM1.15.
Sementara itu, penganalisis CGS-CIMB, Walter Aw menangguhkan sebarang anggaran pendapatan terhadap Power Root sementara menantikan impak butiran lanjut mengenai cukai gula dan pendapatan daripada sumber asing.
"Bagi kami, cukai gula ini adalah kebimbangan utama bagi Power Root tetapi kami berpandangan, kumpulan boleh menaikkan harga jualan bagi melepasi cukai ini dan merendahkan kandungan gula dalam produk keluarannya," jelasnya.
Oleh itu, ia mengulangi saranan 'pegang' bagi saham Power Root dengan harga sasaran pada RM1.30, di sebalik prospek pemulihan pendapatan yang lemah dalam tempoh terdekat.
"Kami percaya penilaian ini akan disokong oleh hasil dividen yang mantap (sekitar 2.9 hingga 5.8% bagi FY22-Fy24), kedudukan imbangan tunai yang kukuh dan penguasaan pasaran bagi minuman kopi segera di peringkat domestik dan Asia Barat," katanya.
Setakat 11.40 pagi ini, harga sahamnya menokok 1 sen atau 0.72% kepada RM1.39 dengan 79,000 saham diniagakan. - DagangNews.com