Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 8 Okt. - Selepas Google dilaporkan bersetuju membayar ganti rugi kepada syarikat penerbitan di Australia pada September lalu, ia dilihat seperti memberi harapan baru kepada dunia media tempatan.
Malaysia pernah senada dengan Australia apabila Persatuan Penerbit Akhbar Malaysia (MNPA) pada April 2020 menggesa pelbagai syarikat teknologi antarabangsa seperti Google dan Facebook, berkongsi perolehan daripada hasil pengiklanan dikumpul mereka, kebanyakannya menerusi kandungan media tradisional.
Langkah itu diambil bagi mengelakkan penerbit akhbar mengalami kerugian yang lebih teruk meskipun beberapa akhbar tradisional turut beralih kepada dunia digital, namun perolehan daripada berita dalam talian terus dibolot Google dan Facebook.
Namun, menurut CGS-CIMB, tidak dapat dipastikan sejauh mana kegigihan kerajaan Australia terhadap Google dan Facebook dapat membuka jalan kepada negara lain untuk mengambil tindakan yang sama.
"Pada pandangan kami, penerbit berita tempatan mempunyai hujah yang menyakinkan terhadap firma gergasi ini.
"Memandangkan mereka mempunyai skala global, Google dan Facebook dapat menurunkan kadar iklan dengan mudah sehingga pengiklan akan mengunjunginya dan bukannya penerbit tempatan.
"Tambahan pula, mereka hanya pengumpul berita manakala mereka yang menerbitkan berita hanya menerima jumlah yang sedikit," jelasnya dalam nota kajian hari ini.
Semalam, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Bhd., Rafiq Razali yang baru dilantik 1 Oktober lalu dalam satu sesi bual bicara anjuran MIDF berharap langkah Google membayar kandungan berita yang diterbitkan syarikat media di Australia dapat membuka jalan ke arah model pendapatan baharu untuk penerbit berita.
Selama bertahun-tahun kerajaan Australia dan syarikat media terutamanya News Corp memberi tekanan terhadap Google dan Facebook untuk mula membayar ganti rugi kepada penerbit tempatan bagi setiap pautan berita dan coretan yang muncul di enjin carian mereka.
Ini kerana Google dan Facebook memberi kesan besar kepada industri berita Australia iaitu merangkumi dua pertiga daripada perbelanjaan pengiklanan dalam talian.
Susulan itu, pada Julai 2020, kerajaan Australia membentangkan draf mengenai News Media Bargaining
Code.
Menurut Digiday, kod tersebut membolehkan pengeluar berita untuk berunding sama ada secara individu atau bersama untuk mendapatkan ganti rugi daripada Google atau Facebook menerusi berita yang dipaparkan.
Disebabkan tekanan tersebut, Google mengancam untuk menarik diri dari Australia pada awal tahun ini.
Bagaimanapun, firma teknologi itu kemudiannya mengalah dan mula membayar ganti rugi kepada News Corp dan penerbit lain pada September lalu. Jumlah itu bagaimanapun tidak didedahkan, menurut Axios.
Namun, Facebook sebaliknya, memilih untuk menyekat pengguna daripada menyiarkan pautan ke kandungan yang dihasilkan oleh pengeluar berita Australia.
Hakikatnya, impak daripada syarikat teknologi ini kepada media tempatan, bukan sedikit. Seperti dibangkitkan MNPA tahun lalu, syarikat media di Malaysia menyaksikan perolehan hasil merudum sejak sekian lama dan kebanyakannya terpaksa mengecilkan operasi serta memberhentikan pekerja untuk terus bertahan.
Menurut CGS-CIMB, langkah pengurangan kos secara berterusan yang dilaksanakan penerbit berita tempatan, sebenarnya akan memudaratkan mereka pada masa depan.
"Oleh kerana sebahagian besar pemain dalam industri ini berpusat pada modal insan, dan ini secara tidak langsung akan mengorbankan kualiti kewartawanan.
"Kredibiliti berita semakin dipertaruhkan sekarang dengan berita palsu bertebaran di media sosial," tegasnya.
Dalam hal ini, CGS-CIMB berharap syarikat media di negara ini mampu mencapai satu perjanjian dengan firma teknologi gergasi seperti Google mahupun Facebook, meskipun ia dilihat sekadar 'angan-angan' sahaja setakat ini.
Firma itu bagaimanapun secara keseluruhan mengekalkan saranan 'overweight' ke atas sektor media dengan pilihan utamanya bagi saham Media Prima, Star Media Group dan Astro Malaysia Holdings Bhd. dengan masing-masing diberi saranan 'beli'. - DagangNews.com